MPP UiTM mohon maaf atas kenyataan ‘sedikit mengelirukan’ berkait kempen #MahasiswaUiTMBantah

Selaku wakil pelajar, mereka mengambil maklum isu 3R (kaum, agama, raja) yang sensitif tidak patut ditimbulkan serta kepentingan menjaga keharmonian dan kesejahteraan sesama pelajar

5:36 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) memohon maaf secara terbuka atas kenyataan yang ‘sedikit mengelirukan’ mengenai penganjuran kempen #MahasiswaUiTMBantah pada 14 hingga 16 Mei lalu.

Menurutnya, kenyataan pada 14 Mei lalu tidak menjelaskan aspek kronologi kes sebenar dengan sebaiknya tafsiran Perkara 153 Perlembagaan sehingga menyebabkan timbul salah faham kepada umum.

“Sesungguhnya perkara ini adalah di luar jangkaan kami dan kami menerima perkara ini sebagai satu pengajaran dalam mengolah pemakluman penuh melalui kenyataan yang lebih jelas.

“Sebagai wakil pelajar, kami mengambil maklum isu berkait kaum, agama, dan institusi diraja (3R) yang sensitif tidak patut ditimbulkan serta kepentingan menjaga keharmonian dan kesejahteraan hubungan bersama mahasiswa.

“Lantaran perkara yang berlaku, keharmonian tersebut telah terganggu kerana kaedah penyampaian yang kurang jelas dan tidak sejajar dengan niat asal pelaksanaan kempen ini berikutan pemahaman konteks yang tidak sehaluan melalui pembacaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, MPP UiTM turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, sama ada secara langsung ataupun tidak dalam menyuarakan pandangan dan kebimbangan mengenai penganjuran kempen tersebut.

“Pandangan dan maklum balas yang diterima sangat penting bagi kami dalam menjernihkan isu ini dengan baik.

“Segala kekhilafan yang berlaku ini akan menjadi pengajaran bagi kami dan kami sekali lagi memohon maaf di atas segala tindakan ini.

“Kami berharap agar perkara ini akan dijadikan sempadan dan pengajaran yang boleh dijadikan iktibar sama pada masa akan datang,” katanya.

Pada Rabu lalu, Persatuan Pelajar UiTM membantah keras sebarang cadangan membuka kemasukan kepada pelajar bukan bumiputera walaupun cadangan itu hanya untuk program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks.

Sehubungan itu, MPP UiTM menggesa pelajar memakai pakaian hitam pada Khamis dan menggunakan tanda pagar #MahasiswaUiTMBantah di platform media sosial sebagai tanda sokongan kepada kempen tersebut.

Malah katanya, objektif penubuhan UiTM adalah melindungi kedudukan istimewa orang Melayu, Orang Asli, dan anak negeri Sabah dan Sarawak.

Bantahan tercetus susulan ada yang mencadangkan UiTM dibuka kepada pelajar bukan Bumiputera, malah anggota Lembaga Parallel Pathway UiTM- Institut Jantung Negara (IJN), Raja Amin Raja Mokhtar berkata, UiTM bersetuju membuka laluan ‘sementara’ kepada pelatih bukan Bumiputera mendapatkan pendidikan lanjutan bidang pembedahan kardiotoraks di universiti berkenaan.

Difahamkan UiTM satu-satunya universiti yang menawarkan program parallel pathway dengan kerjasama IJN dalam bidang kardiotoraks.

Selain itu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) turut memohon agar UiTM membenarkan kemasukan pegawai perubatan bukan Bumiputera yang ingin mendapatkan latihan khusus dalam bidang kardiotoraks, sama seperti mereka menerima pelajar antarabangsa sekarang.

Susulan itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Sri Zambry Abd Kadir, menegaskan tiada perbincangan mengenai kemasukan pelajar bukan Bumiputera ke UiTM sama ada di peringkat kementerian mahupun Kabinet.

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Shahrin Sahib juga menegaskan bahawa pengambilan sedia ada adalah kekal dan tiada perbincangan di peringkat Senat mahupun Mesyuarat Universiti berhubung kemasukan pelajar bukan Melayu ke universiti itu. – 22 Mei, 2024

Topics

 

Hangat

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Regulating social media to protect children is a multi-agency effort, groups tell MCMC

Children’s issues cover many facets thus their digital rights and freedom of expression must not be restricted in the process of licensing platforms  

Book vouchers for students: MoE, MoHE unaligned on distribution method?

Fadhlina Sidek, in a ministry statement, says those eligible can claim through its Delima app via Kota Buku Digital feature, but Datuk Seri Zambry Abdul Kadir says mechanism will be disclosed later

Related