KUALA LUMPUR – Lebih 140 penumpang dan anak kapal Singapore Airlines (SIA), SQ321 yang terbabit dalam insiden gelora udara teruk sebelum mendarat cemas di Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok, Thailand, semalam tiba dengan pesawat lain di Singapura hari ini.
Insiden yang berlaku ketika pesawat dalam perjalanan dari London ke Singapura itu menyebabkan penumpang dan anak kapal ‘terhempas’ di sekeliling kabin.
Seorang penumpang warga emas dari United Kingdom (UK) berusia 73 tahun, meninggal dunia disyaki akibat serangan jantung dan lebih 70 cedera.
Seorang penumpang, Dzafran Azmir menceritakan detik cemas dilalui mereka sejurus tiba di Singapura.
“Saya lihat orang ramai dari seberang lorong ‘mendatar’ sepenuhnya, melambung ke siling dan jatuh ke lantai dalam kedudukan yang benar-benar janggal.
“Mereka mendapat luka besar di kepala, gegaran otak,” kata pelajar berusia 28 tahun tahun itu.
Gambar yang tular di media sosial menunjukkan bahagian panel kabin atas tercabut dengan topeng oksigen tergantung pada siling, manakala bagasi dalam keadaan berselerak.
Seorang lagi penumpang berkata, beberapa yang lain turut terhantuk pada lampu di atas tempat duduk masing-masing.
Seramai 131 penumpang dan 12 anak kapal SIA tiba di Singapura pada jam 5 pagi tadi menerusi penerbangan bantuan dari Bangkok.
Terdapat 211 penumpang berada dalam pesawat itu dengan 16 daripada adalah rakyat Malaysia dan majoritinya warga Australia, UK dan Singapura serta 18 anak kapal. Mereka yang cedera bersama keluarga kekal di Bangkok.
Ketua Pegawai Eksekutif SIA, Goh Choon Phong menerusi mesej video yang dimuat naik di Facebook menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian itu.
Beliau berkata, pesawat itu mengalami gelora udara secara tiba-tiba dan juruterbang kemudian mengisytiharkan kecemasan perubatan dan melencong ke Bangkok untuk pendaratan cemas.
Sementara itu, Biro Penyiasatan Keselamatan Pengangkutan Singapura (TSIB) sedang menyiasat insiden itu dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat (AS) juga menghantar wakilnya untuk memberikan bantuan sokongan. – 22 Mei, 2024