Sistem komunikasi kerajaan semakin baik, dasar termasuk Ekonomi Madani lebih mudah difahami rakyat: Fahmi

Fahmi Fadzil berkata, usaha mengekang penyebaran maklumat palsu yang dilakukan ‘kumpulan tertentu’ turut sudah menampakkan hasil

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Sistem komunikasi dan penyampaian maklumat berkaitan perancangan dan dasar Kerajaan Perpaduan kepada rakyat semakin bertambah baik ketika ini berbanding tahun lalu.

Malah, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, usaha mengekang penyebaran maklumat palsu yang dilakukan ‘kumpulan tertentu’ turut sudah menampakkan hasil.

Menurutnya, sistem komunikasi kerajaan pada tahun lalu boleh disifatkan masih di peringkat belajar (still learning the ropes) yang mana hubungan kementerian, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bersama pihak pengendali media sosial terutamanya Meta masih di peringkat berkenalan.

“Tapi kita adakan perbincangan, pertemuan, saling memahami, kita tahu had dia (Meta) apa dan dia (Meta) faham undang-undang kita apa. Jadi kerjasama itu dah mula meningkat.

“Kita dah berupaya untuk kekang serba sedikit maklumat palsu, terutamanya disinformation (berniat jahat, sengaja letak kandungan yang timbulkan salah faham dan keraguan).

“Kita juga kenal pasti ‘kumpulan-kumpulan’ yang bersekongkol ini, yang mungkin ada ‘perikatan’ tertentu untuk melakukan sesuatu, mengikat pemikiran rakyat.

“Kalau dibandingkan dahulu dengan sekarang ini (komunikasi kerajaan)… Alhamdulillah, saya rasa lebih baik,” katanya.

Fahmi, semasa sesi rakaman podcast PodaBoom oleh Scoop. Podcast itu dihoskan oleh Ketua Pengarang Kumpulan Big Boom Media, Terence Fernandez (dua dari kiri); Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Zainul Arifin (kanan) dan Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Ahirudin Attan (Rocky, kiri) – Azim Rahman/Scoop, 22 Mei, 2024

Beliau berkata demikian sebagai tetamu jemputan untuk segmen podcast PodaBoom oleh Scoop, baru-baru ini.

Ia dihoskan oleh Ketua Pengarang Kumpulan Big Boom Media, Terence Fernandez; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Zainul Arifin dan Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Ahirudin Attan (Rocky).

Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, beberapa perubahan format dalam penyampaian informasi juga dilakukan supaya komunikasi kerajaan lebih mudah difahami rakyat.

“Pada masa sama, komunikasi kerajaan juga kita kena perbetulkan. Jadi memang kita dah ubah beberapa format, contohnya dalam RTM kita letak Datuk Suhaimi Sulaiman (Ketua Pengarah Penyiaran) dan format berita serta kandungan dalam RTM dah mula diubah dan sambutan agak baik.

“Dari segi komunikasi kerajaan juga kita dah susun atur semula beberapa perkara dan kita pastikan mesej yang disampaikan mudah difahami, dicerna dan dihadam (oleh rakyat),” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan berikhtiar melalui dasar Malaysia Madani dan Ekonomi Madani, yang menjadi asas dalam anjakan bagi merancang pembangunan dan hala tuju negara.

Fahmi, yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan turut berkata, beberapa perubahan format dalam penyampaian informasi juga dilakukan supaya komunikasi kerajaan lebih mudah difahami rakyat, seperti mengubah format berita serta kandungan dalam RTM – Azim Rahman/Scoop, 22 Mei, 2024

“Apa perancangannya? Kita perlukan industri baharu, nak bahan bakar baharu, gaji lebih baik dan inilah fokus kerajaan sekarang.

“Dalam tempoh tahun 2023 hampir setiap hari, setiap minggu orang cakap kerajaan akan tukar, akan tumbang, daripada PMX jadi XPM, itu yang mereka ajukkan. Tapi Perdana Menteri berjaya umumkan lima dasar paling penting terutama Ekonomi Madani bagi menaikkan pendapatan negara dan rakyat.

“Untuk naikkan pendapatan rakyat (pula) kerajaan umum kenaikan gaji penjawat awam, selain peruntukan RM50 juta untuk membantu 1,000 syarikat tempatan, membantu sejuta pekerja bagi memulakan dasar gaji progresif bermula Jun ini,” katanya.

Bagi menangani tindakan ‘kumpulan’ yang berterusan menyebar berita palsu termasuk individu di luar negara, Fahmi berkata, berlawan dengan hujah dan fakta sahaja tidak mencukupi, sebaliknya kerajaan turut mempertimbangkan tindakan undang-undang.

“Kadang-kadang ada pihak tertentu terutama orang yang merasakan dia tidak boleh disentuh undang-undang Malaysia, dia boleh cakap apa sahaja.

“Kita boleh lawan hujah dengan hujah. Kita boleh nyatakan apa yang dia sebut itu palsu atau tidak betul, tapi sampai had tertentu, kita kena pertimbang mungkin tindakan undang-undang diambil bagi memperbetulkan keadaan.

“Konsepnya di sini bukan untuk membalas dendam atau memperlakukan orang secara zalim. Tidak… tapi untuk menuntut keadilan meletakkan sesuatu di tempatnya, jadi prinsipnya adalah keadilan,” katanya. – 22 Mei, 2024

Topics

 

Hangat

DBKL slices up Havoc Food Festival in Setapak as traffic complaints boil over

Nik Nazmi steps in after residents complain of congestion, authorities shut down unlicensed event

In latest book ‘Saving the Planet’, Nik Nazmi makes urgent call for climate action

New book offers a Malaysian perspective on the global environmental crisis, highlighting economic and social stakes of climate change

Sports budget allocation: is popularity winning over performance in 2025 funding?

As RM15 million goes to football and RM20 million to e-sports, critics question whether funding priorities reflect merit or strong networks in Malaysian sports

Related