Kubur suspek serang balai polis Ulu Tiram diasingkan sebagai peringatan kepada masyarakat

Jenazah suspek dikebumikan pada jam 12.15 tengah hari tadi, dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor mengingatkan orang ramai agar tidak bersimpati atas apa yang dilakukannya

4:06 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor memutuskan kedudukan kubur suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram hingga mengorbankan dua anggota polis, perlu berjauhan dari kubur orang awam yang lain.

Jawatankuasa itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, mereka berpendapat tindakan menjarakkan kubur suspek berbanding kubur lain sebagai satu peringatan kepada masyarakat supaya tidak terbabit atau melakukan perkara yang dilakukan suspek.

Menurutnya, keputusan itu hasil Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa yang bersidang Jumaat lalu, dipengerusikan Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad.

“Jenazah suspek juga tidak dibenarkan untuk dibawa ke mana-mana masjid atau surau untuk urusan pengebumian.

“Jenazah juga hendaklah dimandikan, dikafankan dan disolatkan di hospital atau di rumah keluarga suspek sahaja,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan jenazah suspek sudah dikebumikan di Pusara Islam Kampung Sungai Tiram di Batu 19, Kampung Sungai Tiram di Ulu Tiram, Johor kira-kira 12.15 tengah hari tadi.

Pengebumian jenazah itu hanya dihadiri beberapa penduduk kampung selain pegawai dan anggota polis yang memantau keadaan sekitar.

Pengamal media juga tidak dibenarkan masuk ke kawasan perkuburan dengan pintu utamanya ditutup dan dikawal lima anggota polis.

Mengulas lanjut, jawatankuasa terbabit turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terbabit dan simpati ke atas suspek di atas apa yang dilakukannya.

“Fatwa ke atas jenazah suspek ini sebagai tanda menzahirkan kebencian terhadap apa yang dilakukan suspek, apatah lagi membunuh anggota yang menjaga keselamatan negara yang tidak melakukan salah dan silap terhadap suspek,” katanya.

Dalam kejadian pada pagi Jumaat lalu, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis dan suspek yang berusia 21 tahun, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan cedera.

Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut dalam kejadian.

Sementara itu, Koperal Mohd Hasif Roslan yang dilaporkan parah dalam kejadian tersebut kini stabil dan masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru. – 20 Mei, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Nak jadi influencer kena ada ilmu, karier tidak kekal kerana populariti boleh lenyap ditelan zaman

Menurut Ryzal Ibrahim, pendidikan sangat penting kerana ia akan membentuk keperibadian seseorang tanpa mengira apa jua bidang pekerjaan yang diceburi

Related