Dua anggota terkorban serangan Balai Polis Ulu Tiram terima pahala syahid akhirat

Pada masa sama, Profesor Muhamad Rozaimi Ramle meminta masyarakat mengecam tindakan ganas seperti itu kerana ia tidak memberikan kebaikan kepada negara

11:22 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Dua anggota terkorban dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram kelmarin, sememangnya termasuk dalam kalangan umat Islam yang menerima ganjaran pahala syahid akhirat.

Perkara itu dinyatakan Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis, Profesor Muhamad Rozaimi Ramle sebagai menjawab persoalan segelintir netizen berhubung hukum berkenaan.

“Mungkin ada bertanya adakah polis yang terkorban ini mendapat pahala syahid akhirat, jawapannya benar.

“Mereka diberikan ganjaran syahid akhirat jika mereka itu dibunuh dalam keadaan dizalimi,” katanya menerusi rakaman video.

Beliau berkata, di dalam hadis Nabi Muhammad SAW yang pernah memanjat Bukit Uhud bersama dengan Khalifah Abu Bakar As-Siddiq, Khalifah Umar Al-Khattab dan Khalifah Uthman Affan, ia ada menyebut mengenai individu dibunuh dengan zalim layak memperoleh ganjaran pahala syahid akhirat.

“Nabi Muhammad SAW bersama Abu Bakar, Umar dan Uthman pada ketika memanjat itu, Bukit Uhud bergoyang, bergoncang sedikit sehingga nabi berkata tetaplah kamu wahai Uhud kerana tidak ada di atas kamu ini, melainkan nabi, seorang siddiq dan dua orang syahid.

“Nabi adalah Nabi Muhammad, siddiq adalah Abu Bakar dan syahid (bermaksud) Umar serta Uthman yang (kemudian) dibunuh secara zalim, jadi mudah-mudahan mereka ini diberikan oleh Allah SWT dengan ganjaran kepada keluarga anggota polis terkorban ini,” katanya.

Malah, Rozaimi berkata, semua umat Islam diminta berdoa semoga Allah SWT memberikan ganjaran besar atas kesabaran keluarga mangsa.

“Harapkan pahala di sisi Allah SWT dan teruskan bersabar, moga-moga Allah SWT gantikan dengan yang lebih baik, selain kita mendoakan anggota polis terkorban itu diberikan keampunan serta dicucuri rahmat,” katanya.

Pada masa sama, Rozaimi yang juga Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) meminta masyarakat mengecam tindakan ganas seperti itu kerana ia tidak memberikan kebaikan kepada negara.

“Saya turut mengecam keganasan. Ia merosakkan nama agama dan negara,” katanya.

Mengikut sejarah, Umar al-Khattab yang juga khalifah kedua Islam, ditikam bertubi-tubi seorang penyerangkan pada 31 Oktober 644 menggunakan pisau bermata dua ketika beliau sedang mengimamkan solat Subuh, mengakibatkannya parah dan meninggal dunia tiga hari kemudian.

Uthman Affan, iaitu khalifah ketiga Islam pula dibunuh secara zalim hasil daripada fitnah dan dakwaan tanpa alasan serta bukti.

Jumaat lalu, negara dikejutkan dengan insiden terbabit pada awal pagi dan ia disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada sidang media, selepas beliau mengadakan lawatan ke lokasi kejadian.

Ujarnya, insiden pada kira-kira jam 2.30 pagi itu, membabitkan suspek yang bertopeng serta bersenjatakan pistol dan parang, sebelum turut mati ditembak.

Insiden itu mengakibatkan dua anggota, Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, yang bertugas di pejabat pertanyaan dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, iaitu anggota prowler balai polis berkenaan, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ahmad Azza Fahmi ditetak di belakang leher dan kepala, manakala Muhamad Syafiq ditembak di perut serta lengan.

Manakala, seorang anggota Unit Ronda Cegah Jenayah (RCJ), Koperal Mohd Hasif Roslan mengalami kecederaan di bahu serta pinggul kiri dan kini, dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor.

Ekoran insiden itu, tujuh individu rakyat tempatan direman seminggu bermula semalam, hingga 24 Mei, bagi membantu siasatan. – 19 Mei, 2024

Topics

 

Hangat

Let us not forget our unsung heroes – Ravindran Raman Kutty

We must recognise the many ordinary Malaysians doing extraordinary things

Tiong King Sing gets feet wet to aid victims as over 1,000 evacuated in Sarawak floods

Women, Family & Community Development Minister Datuk Seri Nancy Shukri says assistance was immediately mobilised on first day of Chinese New Year

Vehicles plough into pedestrians in vicious hit-and-run attack near Old Klang Road

Two individuals left injured as sedan and pickup truck deliberately ram into group, police probe attempted murder

Related