KUALA LUMPUR – Dua lelaki warga tempatan ditahan kerana disyaki terbabit kes cubaan menceroboh Istana Negara, semalam.
Suspek masing-masing berumur 29 dan 37 tahun yang menaiki kereta Perodua Kembara itu, ditahan anggota polis bertugas di Pintu 3 Istana Negara.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, mereka ditahan ketika cuba memasuki istana melalui pintu itu pada kira-kira jam 4.40 petang, atas alasan untuk berjumpa Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
“Pemeriksaan lanjut anggota polis terhadap kenderaan suspek menjumpai sebilah parang.
“Hasil ujian saringan awal air kencing suspek adalah negatif. Kedua-dua suspek direman empat hari hingga 21 Mei bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya.
Rusdi berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 447/511 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958.
Katanya, orang ramai diseru supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan sesuatu berita tidak pasti. – 18 Mei, 2024