‘Lone wolf’: Suspek serangan balai polis bertindak sendirian, tiada kaitan kumpulan terancang

Suspek dikatakan mempunyai motivasi sendiri dan tidak bercampur dengan orang

9:46 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Siasatan awal insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor mendapati suspek bertindak sendirian, dengan dipercayai didorong kefahaman sendiri.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu berdasarkan kesimpulan awal selepas polis mengambil keterangan 46 individu bagi membantu siasatan.

Katanya, individu diambil keterangan itu sudah dibenarkan pulang pagi tadi, selepas percakapan mereka dirakam.

“Kita dapati untuk peringkat awalan ini, bahawa penyerang bertindak sendirian, kita panggil lone wolf, driven by certain motivation (bertindak sendiri, didorong motivasi yang dia (sendiri) faham, sebab dia tak bercampur orang, masyarakat sekeliling.

“Kerana itu kita boleh buat kesimpulan awal daripada temubual kita dengan individu kita panggil, establish (kukuh) bahawa tindakan itu tindakan sendirian, (jika) yang terpisah daripada satu orang, nak kata satu misi besar, atau satu kumpulan terancang…itu tak ada,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media secara langsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini sambil memaklumkan penyerang yang terbunuh dalam insiden itu selesai dibedah siasatnya.

Turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar.

Saifuddin berkata, PDRM kini sedang mengenalpasti apakah sumber yang mendorong suspek bertindak seperti itu.

“Pendekatan polis adalah terus engage, terus berinteraksi dengan mereka, memastikan proses rehabilitasi mereka itu berjalan, supaya mereka tidak menjadi ancaman kepada masyarakat, itu kaedahnya.

“Jadi saya nak yakinkan bahawa polis ada pengalaman untuk uruskan berdasarkan database yang polis ada, selain corak sesuatu insiden itu berlaku,” katanya.

Negara dikejutkan dengan kejadian dua anggota polis maut, manakala seorang cedera ditembak dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram awal pagi semalam.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara, Razarudin Husain pada sidang media, selepas beliau mengadakan lawatan ke lokasi kejadian.

Ujarnya, insiden pada kira-kira jam 2.30 pagi itu, membabitkan suspek yang bertopeng serta bersenjatakan pistol dan parang, sebelum turut mati ditembak.

Dua anggota terkorban yang meninggal dunia di tempat kejadian berkenaan adalah Allahyarham Ahmad Azza Fahmi Azhar yang bertugas di pejabat pertanyaan dan Allahyarham Muhamad Syafiq Ahmad Said, iaitu anggota prowler di balai polis berkenaan.

Ahmad Azza Fahmi ditetak di belakang leher dan kepala, manakala Muhamad Syafiq ditembak di perut dan lengan.

Mangsa cedera adalah anggota Unit Cegah Jenayah (RCJ), Koperal Mohd Hasif Roslan yang kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HIS), Johor akibat ditetak di bahu serta pinggul kiri dan dilaporkan stabil.

Lebih mengejutkan, Razarudin berkata, suspek dalam kejadian serangan di balai polis berkenaan disahkan anggota organisasi pengganas antarabangsa, Jemaah Islamiyah (JI).

Menerusi siasatan awal, katanya, bapa suspek yang berusia 62 tahun juga adalah ahli kumpulan pengganas terbabit.

Bagaimanapun, Saifuddin berkata, kegiatan kumpulan militan, Jemaah Islamiyah (JI) di Malaysia adalah terkawal setakat ini.

Manakala, tujuh individu termasuk seorang warga Singapura direman seminggu bermula hari ini hingga 24 Mei, bagi membantu siasatan kes serangan itu.

Perintah reman terhadap semua suspek yang berusia antara 19 hingga 62 tahun itu, dikeluarkan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsuddin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam.

Reman itu bagi membolehkan siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Semua suspek, kecuali warga Singapura diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan termasuk peguam Bustaman Menon Abdul Hamid Menon, Sulaiman Zamani dan Muhammad Zahier Rosli.

Mereka direman itu membabitkan lima ahli keluarga suspek dan dua penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) tempatan. – 18 Mei, 2024

Topics

 

Hangat

Ex-national basketball player arrested for alleged sexual harassment against students

Cheras top cop confirms source's claims, says 36-year-old suspect also has multiple simillar reports lodged against him before; source questions why MoE allowed him to teach

Umno on life support: time for Anwar to pull the plug and bury the loonies – Tuan Muda

The writer doesn't mince his words when he calls for curtains on Malaysia's once premier Malay party

Anwar’s plan: protecting Petronas and restoring the ringgit – Tuan Muda

How the prime minister’s reforms are taking shape in crucial institutions

Related