KUALA LUMPUR – Serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru pada awal pagi semalam membuktikan kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) masih lagi bergerak aktif dalam negara ini.
Bercakap kepada Scoop, penganalisis jenayah yang juga pakar kriminologi, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, beliau tidak menolak andaian kumpulan itu mungkin digerakkan kembali bekas pemimpin kumpulan tersebut yang pernah ditahan di negara jiran, Indonesia.
“Kalau kita tengok sejarah JI, Ulu Tiram pernah dikaitkan dengan kes membabitkan kumpulan itu. Sebagai contoh, Noordin Mat Top (perancang utama kumpulan JI) seorang pelajar agama di sebuah madrasah di Ulu Tiram pada 1996 dan 1997.
“Boleh kata ini sebenarnya kes jenayah terancang. (Jadi kumpulan ini) Memang aktif sebab itu suspek dah rancang (mahu) melakukan serangan di balai polis tersebut. Berkemungkinan bekas pemimpin kumpulan itu yang sudah kembali ke tanah air nak mengaktifkan semula kumpulan tersebut,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, motif serangan masih belum diketahui dan beliau yakin polis akan merungkai segala persoalan yang timbul susulan penahanan beberapa individu bagi membantu siasatan kes tersebut.
“Itu cuma andaian, kita tak pasti lagi. Sepatutnya kumpulan ini dah lama ditutup (tapi) mungkin ada tindakan tidak diselesaikan, jadi adalah saki-baki (anggotanya) dan mengaktifkan semula kumpulan ini.
“Jadi dengan kecekapan pihak polis menangkap dan melakukan siasatan, kita beri masa kepada polis untuk buat siasatan dan dapatkan maklumat mengenai motif sebenar serangan itu dilakukan,” katanya.
Terdahulu, Scoop melaporkan suspek lelaki yang ditembak mati dalam kejadian serangan di balai polis terbabit dipercayai ahli JI.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, susulan kejadian itu, polis melakukan serbuan di rumah suspek di Ulu Tiram dan menahan lima ahli keluarga lelaki terbabit, berusia 19 hingga 62 tahun.
Dua orang awam yang berada di balai polis berkena ketika kejadian serangan di lokasi berkenaan awalnya ditahan bagi membantu siasatan.
Kedua-dua mereka, masing-masing lelaki dan wanita ke balai polis itu untuk membuat laporan berhubung kes cabul yang berlaku dua tahun lalu.
Dalam kejadian 2.45 pagi itu, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis dan suspek yang berusia lingkungan 30-an, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan itu cedera.
Sementara itu, Penganalisis Keselamatan dan Politik di Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Noor Nirwandy Mat Noordin bagaimanapun menyifatkan insiden tersebut sebagai kes terpencil dan tidak patut menjadi bahan spekulasi masyarakat.
Menurutnya, fahaman kumpulan JI yang mula bertapak dalam negara setelah berakhirnya peperangan Kesatuan Soviet dan Afghanistan sejak 1980-an berjaya dinaturalkan pihak polis dengan baik.
“(Jadi) Kita harus beri masa kepada polis untuk jalankan siasatan dan sudah tentu pihak berkuasa akan mengambil satu sistem pemantauan dan perisikan yang berkesan untuk menilai dan memastikan perkara seperti ini tidak berlaku.
“Ini kerana kumpulan tersebut berjaya dinaturalkan dan dikesan pihak polis termasuk ancaman komunis yang berjaya dipulihkan sepenuhnya dengan pembabitan pasukan F (pasukan elit unit cawangan khas) di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Dan keberkesanan sistem keselamatan dan perisikan negara harus dipercayai kerana ia mampu membanteras ancaman-ancaman sebegini sekiranya ia wujud kembali,” katanya.
Pada masa sama, Noor Nirwandy turut mengingatkan orang ramai terutamanya ibu bapa supaya memantau penggunaan media sosial anak-anak supaya tidak terjebak dengan ideologi kumpulan itu yang digerakkan secara atas talian.
“Sudah tentu zaman media sosial hari ini, banyak elemen doktrin negatif dan ideologi berbentuk ekstremisme mudah menular dalam masyarakat.
“Jadi masyarakat harus memastikan supaya gelembung algoritma ekstremisme yang dapat banyak capaian dalam media sosial mempunyai kaitan dengan kumpulan-kumpulan ini tidak dilayari.
“Masyarakat juga harus bekerjasama membina identiti negara untuk mewujudkan negara yang mendukung sepenuhnya elemen berpaksikan Perlembagaan dan Rukun Negara supaya sebarang pelanggaran tidak dijadikan alasan untuk mewujudkan keganasan dalam negara,” katanya. – 18 Mei, 2024