Pulang untuk melawat bapa sakit tapi kini Abdullah dan keluarga ‘terperangkap’ di Gaza

Abdullah dan keluarga kini berlindung dalam khemah yang didirikan di kawasan lapang yang turut dihuni lebih 1,000 penduduk yang lain

7:27 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Abdullah, seorang rakyat Palestin tidak menyangka kepulangannya ke tanah kelahiran di Deir Al-Balah, yang terletak di Gaza Tengah, sepatutnya memberi khabar gembira sebaliknya disambut dengan ‘tangisan’ apabila Semenanjung Gaza dibedil rejim Zionis sejak 7 Oktober tahun lalu.

Beliau yang sudah lebih sembilan tahun berhijrah ke Malaysia, pulang ke Gaza bersama isteri, Walla, 30, serta tiga anak mereka, Rawat, 10; Rayyan, 9, dan Retal, 5, untuk melawat bapanya yang kurang sihat pada September tahun lepas.

Namun, tidak disangka-sangka Abdullah, 32 dan keluarga turut terperangkap bersama lebih 2 juta penduduk di Gaza sebaik sahaja mereka tiba di sana.

Bercakap kepada Scoop, Abdullah berkata, dia sekeluarga kini berlindung dalam khemah yang didirikan di kawasan lapang yang turut dihuni lebih 1,000 penduduk yang lain.

“Sekarang saya sekeluarga tinggal berlindung dalam satu khemah yang sama. Dalam khemah ini, kami semua sembilan orang termasuk bapa, kakak dan abang saya.

“Kami juga memasak sendiri makanan daripada bekalan stok yang ada.

“Dari tempat kami berlindung ini, hanya satu kilometer dari sini, tentera Israel ada berkawal dan anda juga boleh dengar sendiri bunyi helikopter yang berlegar-legar di udara,” katanya dalam temu bual video bersama Scoop dan bekas Ahli Parlimen Klang yang juga Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago.

Charles adalah kenalan Abdullah di Malaysia.

Menceritakan lebih lanjut, Abdullah berkata, walaupun tumpuan Zionis kini adalah untuk membedil Rafah yang merupakan ‘kawasan selamat’ kepada rakyat Palestin, namun di mana-mana daerah Gaza sebenarnya sudah tidak selamat lagi untuk didiami mereka.

Abdullah dan keluarga yang kembali untuk menziarahi bapanya yang sakit turut terperangkap bersama lebih 2 juta penduduk di Gaza sebaik sahaja mereka tiba di sana. – Gambar Riduan Rizal Ahmad/Scoop, 18 Mei, 2024

Malah, ramai kanak-kanak berdepan dengan masalah kesihatan kerana tidak mendapat bekalan makanan yang mencukupi serta kekurangan bekalan air bersih berikutan kawasan persekitaran yang mereka diami sekarang sedikit kotor dan kurang menyenangkan.

Kanak-kanak juga, katanya, terdedah kepada pelbagai penyakit kerana makanan mereka sering terdedah kepada lalat.

“Kami cuba bertahan dengan segala bekalan yang ada, stok ayam yang dibeli daripada pembekal-pembekal pun bukan murah dan semua itu dibeli dengan menggunakan duit simpanan.

“Kasihan melihat keadaan kanak-kanak di sini termasuk dua anak lelaki saya yang merupakan kanak-kanak istimewa autistik yang terpaksa berdepan dengan malapetaka dunia seperti ini,” katanya.

Ketika bercerita kepada Scoop dan Charles Santiago (gambar), Abdullah berkata, beliau tidak putus berdoa agar genjatan senjata dilaksanakan segera rakyat Palestin dapat menjalani kehidupan normal seperti dahulu – Sairien Nafis/Scoop, 18 Mei, 2024

Sambil mengharapkan keajaiban berlaku, Abdullah tidak putus berdoa agar genjatan senjata dilaksanakan segera rakyat Palestin dapat menjalani kehidupan normal seperti dahulu.

Malah, Abdullah turut berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang tidak putus-putus membantu dengan memberi sumbangan serta mendoakan kesejahteraan penduduk Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Israel di bawah pemerintahan Benjamin Netanyahu.

“Saya berharap keajaiban akan berlaku dan semoga semua doa masyarakat dunia diangkat agar genjatan senjata dapat dilakukan dalam masa terdekat.

“Tak sanggup rasanya kami lalui lagi penderitaan ini setelah lebih tujuh bulan Zionis mengganas di bumi Gaza. Free Palestine!” katanya.

Abdullah sekeluarga kini berlindung dalam khemah yang didirikan di kawasan lapang yang turut dihuni lebih 1,000 penduduk yang lain – Riduan Rizal Ahmad/Scoop, 18 Mei, 2024

Perang ke atas Gaza sejak Oktober lalu yang dilancarkan oleh Zionis kini bertukar menjadi pembunuhan beramai-ramai dengan lebih 35,000 penduduk Palestin terkorban selain menjadikan 2.3 juta penduduk sebagai pelarian.

Daripada lebih 35,000 orang yang terkorban itu, lebih 15,000 adalah kanak-kanak manakala mereka yang cedera adalah seramai 79,205 orang.

Sementara penduduk Palestin yang dilaporkan hilang adalah lebih 10,000 orang. – 19 Mei, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

US embassy refutes claims of new sanctions on Malaysian companies  

Washington has not listed Putrajaya as ‘state sponsor of terror’, it clarifies

Islam larang tegur raja, pemerintah tanpa adab, taat setia bukan perkara main-main: Mimbar

Taat setia kepada raja, pemerintah, pemimpin dan ketua harus ditunjukkan sebaik mungkin, malah bukan perkara main-main yang boleh dipandang sebelah mata.

Related