7 wakil rakyat Bersatu kena jawab surat dalam 14 hari, tegas Hamzah

Hamzah juga enggan mendedahkan arahan tambahan di dalam surat terbabit

6:09 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Bersatu sudah menghantar surat mengandungi arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) kepada semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negeri (Adun) parti itu termasuk tujuh wakil rakyat yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, enam Ahli Parlimen dan seorang Adun yang menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan itu, diminta menjawabnya dalam masa 14 hari.

Enam Ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Manakala Adun Selat Kelang, Datuk Abdul Rashid Asari menyatakan sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Hamzah bagaimanapun enggan mendedahkan arahan tambahan terbabit.

“Mereka tahu dan rakan media boleh bertemu dan bertanya apa arahan khusus yang telah saya berikan selepas menerima arahan MPT. Saya beri surat khusus bahawa MPT mengeluarkan arahan khusus Fasal 10(4) yang dilampirkan bersama surat ini untuk tindakan selanjutnya oleh yang berhormat.

“Gagal menjawab surat itu dalam masa 14 hari akan menyebabkan keahlian dalam parti terhenti dengan serta merta mengikut fasal 10 (4) perlembagaan Bersatu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ditanya sama ada surat itu satu peluang kepada enam Ahli Parlimen terbabit menarik sokongan, Hamzah berkata, apabila mereka membawa surat diberikan, mereka akan faham dan mengetahui yang perlu dilakukan.

“Jadi jangan soal kepada saya apa yang mereka nak buat, kena tanya mereka, saya hanya beri arahan,” katanya.

Surat MPT itu secara umum menyatakan sebagai ahli parti, semua ahli Parlimen dan Adun mempunyai tanggungjawab di bawah perlembagaan Bersatu untuk setia kepada parti dengan mendukung dasar dan tujuan parti khususnya termaktub bawah Fasal 9(1).

Kepimpinan Bersatu juga sudah membuat ketetapan tidak menyokong atau menyertai kerajaan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

“Ketiganya kepimpinan Bersatu juga membuat ketetapan Bersatu tidak menyokong mana-mana Menteri Besar atau Ketua Menteri atau menyertai mana-mana kerajaan negeri yang tidak disetujui oleh Bersatu.

“Keempat, Presiden parti dengan jelas menyatakan bahawa PN akan memainkan peranan sebagai pembangkang yang berwibawa untuk membawa suara rakyat ke Parlimen serta memastikan tadbir urus kerajaan yang berintegriti dan benas rasuah.

“Kelima, Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, dan peruntukan serupa dalam perlembagaan negeri-negeri yang merupakan peruntukan pindaan dan/atau khusus menghalang perbuatan lompat parti telah dipermainkan oleh ahli Parlimen dan/atau Adun bila mana mereka bersikap selingkuh dengan menukar atau memberi sokongan kepada parti politik lawan dan/atau kepimpinan parti politik lawan secara menyalahgunakan peruntukan Perkara 49A(1) Perlembagaan Persekutuan tanpa melepaskan keanggotaan parti dan/atau tidak lagi menjadi anggota parti itu.

“Hal ini memperlekehkan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan serupa dalam perlembagaan negeri-negeri.

“Sebagai parti politik yang berwibawa dan demi memastikan tadbir urus hal ehwal parti yang berintegriti dan bebas rasuah, arahan khusus di bawah ini telah diputuskan oleh MPT dan dikeluarkan menurut Fasal 10 (5) perlembagaan parti.

“Maka dengan itu MP dan Adun mesti mematuhinya, mematuhi arahan pimpinan dan ketua whip, memastikan MP dan Adun mengumumkan tidak menyokong kerajaan hari ini, memastikan Yang Berhormat tak beri sokongan dalam apa jua cara sekali pun.

“Mematuhi, mendokong dan bersikap setiap kepada perjuangan semangat dan pendirian parti seperti dihasratkan dan termaktub bawah Fasal 9(1) perlembagaan Bersatu,” katanya. – 17 Mei, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Related