KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh terus mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak sesekali ‘menyentuh’ atau ‘mengganggu’ Universiti Teknologi Mara (UiTM), dengan meminta ia dibuka kepada bukan Bumiputera.
Beliau berkata, ingatan diberikannya itu bukan bermotifkan politik, sebaliknya ingin hak Bumiputera sebagai kaum yang boleh memasuki UiTM seperti termaktub dalam Perlembangaan, kekal terpelihara.
“UiTM ini adalah satu universiti yang saya rasa sangat unik sebab UiTM adalah milik Bumiputera dan kekal sebagai milik Bumiputera, sebab itu apabila ada cakap-cakap mengatakan UiTM perlu dibuka kepada bukan Bumiputera, secara dasarnya saya tidak bersetuju.
“Sebab UiTM ini termaktub dalam Perlembagaan, ia adalah milik Bumiputera dan jangan ganggu hak Bumiputera dalam negara,” katanya menerusi rakaman video di Facebook.
Mengulangi pendiriannya sebelum ini, Dr Akmal berkata, sememangnya diakui Malaysia kekurangan pakar kardiotorak dan tidak menjadi kesalahan sekiranya negara ingin mewujudkan lebih banyak kursus berkaitan di universiti tempatan, termasuk UiTM.
“Tetapi bila buka di UiTM, ambil lah doktor Bumiputera, tak akan tak ada doktor Bumiputera, betul tak, kalau kata ada doktor yang bukan Bumiputera yang nak buat kardiotorak, kenapa nak kacau UiTM? Jangan ganggu UiTM, mesti kekalkan UiTM milik Bumiputera kini, dulu dan selamanya, bila kita mempertahankan hak kita, kita tak pernah ambil hak orang lain, kita tak pernah rampas kaum lain punya hak, malah kita bantu lagi,” katanya.
Dr Muhamad Akmal berkata, beliau berharap isu terbabit tidak terus diperkatakan, terutama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir sudah mengeluarkan kenyataan bahawa tiada langsung perbincangan untuk membuka UiTM kepada bukan Bumiputera.
“Maka kita akan kekal begitu sampai bila-bila, insya-Allah, saya nak bagitahu memang saya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau, memang saya exco kerajaan Melaka, tapi saya nak bagitahu ada lebih penting tugas saya, (iaitu) Ketua Pemuda Umno, saya akan mempertahankan UiTM milik Bumiputera sampai bila-bila,” katanya.
Terdahulu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) pada minggu lalu, merayu agar UiTM mengutamakan kepentingan kesihatan awam dengan membuka sementara program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks kepada pelajar bukan Bumiputera bagi mengatasi kekurangan pakar dalam bidang terbabit.
Presiden MMA, Dr Azizan Abdul Aziz berkata, sekiranya universiti itu boleh membuka pintunya kepada pelajar antarabangsa, tidak ada masalah untuk ia membenarkan rakyat Malaysia melanjutkan pengajian di institusi berkenaan, terutama bagi memenuhi keperluan mendesak pakar kardiotoraks.
Rayuan itu menimbulkan ketidakpuasa hati beberapa pihak, termasuk alumninya, selain Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM yang melancarkan kempen bantahan pembukaan universiti tersebut kepada golongan bukan Bumiputera.
Menerusi kempen itu, MPP menggesa semua pelajar agar memakai pakaian berwarna hitam pada 16 Mei lalu.
Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Shahrin Sahib berkata, dasar pengambilan pelajar sedia ada universiti itu, adalah kekal dan tiada perbincangan di Senat mahupun Mesyuarat Eksekutif Universiti untuk membuka kemasukan kepada pelajar bukan Bumiputera.
Tegasnya, UiTM berpegang teguh kepada Fasal 1A Akta 173 yang menyatakan ia ditubuhkan menurut dan mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Manakala, Zambry menegaskan, isu membuka kemasukan kepada pelajar bukan Bumiputera di UiTM tidak dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat di peringkat Kementerian, mahupun Kabinet.
Ujarnya, isu terbabit nyata sengaja dijadikan polemik dan dimainkan pihak tertentu yang cuba mengganggu-gugat polisi serta objektif asal penubuhan UiTM. – 17 Mei, 2024