KUALA LUMPUR — Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan suspek dalam kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru merupakan anggota organisasi pengganas antarabangsa, Jemaah Islamiyah (JI).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, menerusi siasatan awal yang dibuat terhadap bapa suspek yang berusia 62 tahun juga merupakan ahli kumpulan pengganas tersebut.
Menceritakan kronologi insiden yang dipercayai berlaku sekitar jam 2.30 pagi tadi, Razarudin berkata, suspek telah menetak dan menembak mati dua anggota polis serta mencederakan seorang lagi anggota.
“(Sebelum kejadian) ada dua orang awam datang ke balai minta pandangan dia telah dicabul pada dua tahun lalu.
“Ketika mereka meminta pandangan dan pendapat, suspek ini telah masuk melalui pintu belakang dan ketika itu anggota ini pergi ke bahagian belakang untuk memeriksa, sebelum dirinya ditetak oleh suspek.
“Pada masa sama, ada kereta peronda polis lalu dan berlaku insiden tembakan dan salah seorang anggota telah ditembak di bahagian pipi dan dilaporkan meninggal dunia tempat kejadian,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian.
Susulan itu, pihak polis telah menahan lima individu berusia dari 19 hingga 62 tahun yang terdiri daripada ahli keluarga suspek termasuk dua orang awam yang berada dalam balai ketika insiden itu berlaku.
“Kita telah menangkap (menahan) dua pengadu perempuan dan lelaki ke balai. Kalau kejadian dua tahun lalu dia datang ke balai jam 2 pagi, itu macam tidak logik dan kita akan siasat perkara ini.
“Pihak polis juga telah menyerbu rumah suspek dan mendapati banyak ayat-ayat ditampal dan kita tahu bahawa (mereka) ahli Jemaah Islamiyah,” katanya.
Menurut Razarudin, suspek dipercayai telah membuat perancangan rapi mengenai serangan tersebut dengan penemuan kepingan zink, kertas dan kain dalam begnya yang dijadikan sebagai alat perlindungan diri ketika bertempur dengan pihak polis.
Terdahulu, Scoop melaporkan dua anggota polis maut manakala seorang cedera ditembak dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar.
Beliau berkata, insiden pada jam 2.45 pagi itu, membabitkan suspek yang bertopeng serta bersenjatakan pistol dan parang.
Suspek turut dilaporkan mati ditembak di lokasi kejadian.
Polis turut merampas sepucuk pistol Walther P99 dan Selaras HK MP5 daripada suspek. – 17 Mei, 2024