KUALA LUMPUR — Siasatan polis mendapati tiada unsur jenayah dikesan dalam kes kematian seorang wanita warga asing akibat lemas di pantai Pulau Perhentian, Terengganu semalam.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut dan sudah membuka kertas siasatan.
Menurutnya, polis menerima laporan berhubung kes itu semalam pada kira-kira jam 4.37 petang.
“Laporan itu mengatakan pada jam 3.30 petang, wanita terbabit sedang mandi bersama suami, warga Jerman.
“Semasa kejadian suami mengsa menariknya ke pantai dengan bantuan orang awam.
“Mangsa diberikan bantuan awal CPR, namun tidak berjaya, sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Pulau Perhentian dan disahkan meninggal dunia,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata, mayat mangsa yang dikenali Dr Loosen-Freiling Iris, 74, dibawa ke Hospital Besut bagi menjalani proses bedah siasat.
“Sebab dan punca kematian belum diketahui sehingga proses bedah siasat selesai dijalankan,” katanya. – 17 Mei, 2024