KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) akan menyelesaikan segera isu ketiadaan kerusi dan meja membabitkan murid Tahun Tiga di sebuah sekolah rendah agama di Jasin, sehingga mereka didakwa terpaksa belajar di atas lantai.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, beliau maklum mengenai perkara itu dan kelulusan bagi mendapatkan kelengkapan perabot sudah dikeluarkan.
Katanya, tender dikeluarkan untuk kemudahan kerusi dan meja dibuat bagi semua sekolah di negeri berkenaan, bukan hanya kepada sekolah dilaporkan berdepan isu itu.
“Sebagai makluman juga, murid terpaksa duduk di lantai itu adalah murid ditempatkan di kelas tambahan yang baru dibuka.
“Keseluruhan ada 21 kelas di sekolah itu dan semuanya lengkap dengan perabot.
“Namun terdapat pertambahan murid jadi kelas baharu terpaksa dibuka,” katanya seperti dilaporkan Melaka Hari Ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek itu berkata, dakwaan bahawa murid terbabit terpaksa belajar tanpa meja dan kerusi sejak lima bulan lalu, tidak tepat kerana sesi persekolahan bermula Mac.
“Bukan lima bulan kerana sesi persekolahan bermula Mac.
“Kebajikan murid adalah keutamaan dan fokus kami, selain menjadi tanggungjawab menyediakan suasana selesa serta kondusif,” katanya.
Terdahulu, Adun Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh mempertikaikan dan berang dengan pengurusan Jaim, selepas gagal menyediakan kerusi dan meja untuk 34 pelajar sebuah sekolah agama di negeri berkenaan yang didakwa sejak awal tahun ini, sehingga menyebabkan mereka terpaksa belajar di lantai.
Menyifatkan masalah berkenaan berpunca daripada amalan birokrasi, beliau berkata, situasi terbabit sangat tidak boleh diterimanya.
Ujarnya, ia memandangkan peruntukan untuk pembelian kemudahan itu, sudah diluluskan Jabatan Kewangan dan Perbendaharaan Melaka sejak Disember tahun lalu.
“Tidak boleh saya terima apabila anak-anak kita terpaksa belajar di lantai akibat tiada meja dan kerusi.
“Bila mana proses birokrasi menyusahkan rakyat inilah akibatnya,” katanya menerusi video dikongsikan di Facebook.
Menerusi video itu, dipaparkan Dr Muhamad Akmal terdahulu menjenguk pelajar di kelas terbabit yang memperlihatkan mereka duduk di atas lantai, sebelum bertanya khabar dan menyoal berapa lama terpaksa belajar dalam keadaan berkenaan.
“Daripada masuk sekolah duduk kat bawah ni? Alahai sedihnya hati saya dengar ni ha,” katanya selepas menerima maklum balas daripada kumpulan pelajar itu. – 16 Mei, 2024