Pendidikan Malaysia bertahan, gencar bergerak kerana tonggak utamanya guru: Fadhlina

Bagi memenuhi keperluan tugas dengan lebih baik, guru disaran membangunkan kebolehan digital secara kendiri, memandangkan ia kunci pintu kepada pendidikan berkualiti untuk golongan pelajar

11:56 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Tanpa guru siapalah kita, justeru golongan itu seharusnya dihormati dan dihargai sebaik mungkin kerana pengorbanan serta jasa mereka mendidik insan menjadi individu berguna, tidak ternilai.

Bersempena Hari Guru disambut pada hari ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, cabaran dan amanah guru dalam melaksanakan tanggungjawab mereka tidak semudah disangka kerana tugasnya berat serta bebanannya besar.

Guru, katanya, adalah profesion paling dipercayai zaman-berzaman, malah mereka menjadi tonggak masyarakat dan pelaku pembangunan peradaban bangsa.

“Hatta, seorang guru yang baik dan berjasa tidak mungkin dilupakan masyarakatnya. Natijahnya, guru dalam masyarakat kita sering kali dijadikan rujukan penduduk. Dipanggil pula dengan panggilan ‘Cikgu’.

“Sekali bergelar guru, sampai hujung nyawa dipanggil Cikgu. Berbicara mengenai guru umpama kita berbicara mengenai ibu bapa kita. Sering kali perasaan terharu dan sebak datang menusuk kalbu saat bercakap perihal guru.

“Sering kali saya misalkan guru dan pendidik ini ibarat ‘hujung mata tombak’. Dialah yang paling tajam, (iaitu) mampu menusukkan ilmu, adab dan kesedaran ke dalam akal serta jiwa setiap anak-anak kita,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi perutusan sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2024 hari ini`.

Majlis Pelancaran Sambutan Hari Guru bertemakan Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara Madani pada tahun ini, diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (Sasicc) selama tiga hari bermula kelmarin.

Beliau berkata, ketika mengadakan kunjungan ke banyak institusi pendidikan dan sekolah sama ada di bandar, pinggir bandar, luar bandar atau pedalaman, memang masih banyak perkara perlu diperbaiki baik dalam konteks infrastruktur serta kemudahan mahupun akses dan peluang pendidikan.

“Namun pendidikan kita di Malaysia masih bertahan dan gencar (terus lancar) bergerak kerana tonggak utamanya Guru.

“Saya bertuah kerana dapat merasai pengalaman bermakna ini yang mengajar saya erti kegigihan. Sesekali dalam lawatan, saya mengelamun sejenak kerana memikirkan betapa kesungguhan pendidik ini tidak mungkin dapat dibalas dengan ganjaran dunia,” katanya.

Fadhlina berkata, bagi memenuhi keperluan dalam melaksanakan tugas mereka dengan baik, guru disaran membangunkan kebolehan digital secara kendiri menerusi latihan dan pembelajaran berterusan.

Katanya, menerusi kebolehan itu, guru akan menjadi peneraju dalam membentuk landskap pendidikan lebih baik untuk generasi masa depan.

Menurut Fadhlina, pada era teknologi, pengetahuan digital adalah kunci yang perlu dikuasai oleh guru untuk membuka pintu kepada pendidikan berkualiti bagi golongan pelajar. – Gambar Facebook, 16 Mei, 2024

Pengetahuan digital juga, ujarnya, adalah kunci perlu dikuasai guru untuk membuka pintu kepada pendidikan berkualiti bagi golongan pelajar, selaras aspirasi Dasar Pendidikan Digital (DPD).

Beliau berkata, terkadang ada segelintirnya memandang sinis usaha KPM dalam merangka perancangan pendidikan digital itu, atas alasan masih ada pelajar tercicir atau tertinggal daripada asas literasi dan numerasi dalam pendidikan mereka.

“Keprihatinan mereka ini berasas sebenarnya, namun memang kita (KPM) sudah usahakan ‘campur tangan’ dan intervensi dalam kurikulum kita sekarang ini, selain memberi fokus kepada perkara asas yang belum selesai seperti penguasaan 3M (Membaca, Menulis dan Mengira),” katanya.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, KPM yakin untuk masa depan, teknologi digital akan mampu mengesan keciciran dan membantu masalah itu ditangani.

“Justeru, digitalisasi bukanlah semata-mata suatu ‘privilege’ (keistimewaan) kepada anak berkemampuan dan mempunyai akses, tetapi ia akan diperluas menjadi sebahagian penyelesaian kepada permasalahan membelenggu proses pendidikan,” katanya.

Menurutnya, dalam konteks pembangunan negara, generasi fasih digital amat diperlukan sebagai persediaan negara menghadapi perubahan dunia teknologi dan digital.

Agenda pendidikan bukan sekadar memfokuskan kepada aspek prestasi dan kecemerlangan akademik, ia juga mengenai pembentukan ‘otak dan watak’, merangkumi perkembangan ilmu, pembentukan karakter, pemurnian adab dan akhlak serta pengukuhan integriti. – Gambar Facebook, 16 Mei, 2024

Dalam perutusan sama, Fadhlina berkata, agenda pendidikan bukan sekadar memfokuskan kepada aspek prestasi dan kecemerlangan akademik, mahupun prasarana dan fasiliti institusi pendidikan.

Tegasnya, agenda pendidikan harus dilihat dan disikapi menyeluruh, komprehensif serta meliputi keseluruhan horizonnya yang luas.

“Pendidikan adalah mengenai pembentukan ‘otak dan watak’, (iaitu) kecemerlangan akademik serta keterpujian sahsiah merangkumi perkembangan ilmu, pembentukan karakter, pemurnian adab dan akhlak serta pengukuhan integriti.

“Pendidikan juga adalah mengenai ‘interaksi’, (iaitu) kesalingan hubungan antara sesama manusia. Oleh itu, menjadi keyakinan kita bahawa maqam tertinggi dalam pendidikan ialah ‘cinta’. Secara idealnya, pendidikan berperanan memelihara dan memandu fitrah manusiawi,” katanya.

Malah, beliau berkata, pendidikan seharusnya menjadi proses ‘memanusiakan manusia’ dan antara esensi utama dalam diri manusia ialah kasih sayang serta cinta. – 16 Mei, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Of Chinese gangs, a M’sian ex-deputy minister, and Burmese rebels: KL event ensnared in Myanmar scam centre?

Human rights group reveals event at JW Marriott for controversial Dongmei Zone, which allegedly sourced billions of ringgit in investments from prominent individuals, and reported by Chinese human trafficking victim to be rife with crime, drugs, brothels

Related