Akmal Saleh ‘hentam’ Jaim gagal sedia kerusi, meja hingga murid belajar di lantai

Beliau turut memberi amaran akan membawa isu kegagalan itu dalam mesyuarat exco supaya pengurusan Jaim dirombak

9:41 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh berang dengan pengurusan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), selepas ia gagal menyediakan kerusi dan meja untuk 34 pelajar sekolah agama di negeri berkenaan sejak awal tahun ini, sehingga menyebabkan mereka terpaksa belajar di lantai.

Menyifatkan masalah berkenaan berpunca daripada amalan birokrasi, beliau berkata, situasi terbabit sangat tidak boleh diterimanya memandangkan peruntukan untuk pembelian kemudahan itu, sudah diluluskan Jabatan Kewangan dan Perbendaharaan Melaka sejak Disember tahun lalu.

“Tidak boleh saya terima apabila anak-anak kita terpaksa belajar di lantai akibat tiada meja dan kerusi.

“Bila mana proses birokrasi menyusahkan rakyat inilah akibatnya,” katanya menerusi video dikongsikan di Facebook.

Menerusi video itu, dipaparkan Dr Muhamad Akmal terdahulu menjenguk pelajar di sebuah kelas yang memperlihatkan mereka duduk di atas lantai, sebelum bertanya khabar dan menyoal berapa lama terpaksa belajar dalam keadaan berkenaan.

“Daripada masuk sekolah duduk kat bawah ni? Alahai sedihnya hati saya dengar ni ha,” katanya selepas menerima maklum balas daripada pelajar itu.

Beliau kemudian bertanya kepada seorang lelaki dipercayai pegawai daripada Jaim di situ sampai bila masalah itu akan diselesaikan, tetapi tidak mendapat jawapan diinginkan dan diminta individu terbabit supaya beliau tidak perlu memberi peringatan.

“Saya kena bagitahu sebab orang adu kat saya, tak akan daripada bulan 12, peruntukan dah masuk bulan 12, perlukan masa sampai lima bulan, ustaz tengok anak ni, ustaz rasa selesa ke?

“Ustazah (guru) kata daripada tahun lepas dah mohon…saya tengok bajet, bajet dah sampai hujung tahun lepas, buat apa ni ustaz sampai lima bulan buat apa, berapa lama?

“Ini lah saya kata masalahnya ambil sambil lewa, aduan daripada guru besar dah bagitahu lama, kita ambil sambil lewa, kita bagi orang ini buat, orang itu buat, birokrasi banyak, akhirnya lima bulan,” katanya geram.

Susulan tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan individu terbabit yang seolah-olah mengatakan kelewatan perolehan dana menjadi halangan untuk Jaim menyediakan kemudahan kerusi dan meja itu, Dr Muhamad Akmal kemudian terus menghubungi Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salha Saleh untuk mendapatkan kepastian.

“Tak apa saya call Datuk Salha, ustaz dengar betul-betul…Saya dengan (pegawai) Jaim ni, jadi saya nak tanya perolehan, kita pernah duduk dalam exco mesyuarat pun, kita rasa tak ada isu, paling lambat kita boleh buat pun dua, tiga bulan sebab kita dah ada bajet, bukan tak ada bajet,” katanya sebelum dipersetujui Salha.

Ditanya Salha apakah alasan diberikan pegawai terbabit atas dakwaannya bahawa perolehan lewat, Dr Muhamad Akmal memaklumkan beliau tidak diberitahu puncanya.

“Saya tak tahu, dia kata kewangan lambat, ini saya call (hubungi) Datuk Salha depan dia ni, sebab birokrasi Jaim ni yang melambatkan kerja,” katanya.

Malah, beliau yang juga Ketua Pemuda Umno menasihatkan kakitangan Jaim supaya melaksanakan tugas dengan bertanggungjawab, bukan sambil lewa.

“Ini anak-anak kita masalah ustaz, kita ni nak berkhidmat ni kita berkhidmat, (kita) ini semua penjawat awam, kita ni berkhidmat untuk rakyat.

“Kalau tak boleh pergi (lakukan sebaiknya) tak apa, saya bawa dalam exco kita rombak semua (pengurusan) Jaim ni, senang,” katanya.

Lebih membuatkan beliau ‘panas hati’ apabila dimaklumkan kakitangan itu bahawa Jaim memerlukan kira-kira tiga bulan tempoh tambahan, bagi menyediakan kerusi dan meja kepada pelajar berkenaan.

“Lagi tiga bulan ustaz, total (semua sekali) lapan bulan? Tak payah, ustazah berapa orang semua, saya tak nak dengar (penerangan Jaim), 34 orang, saya beli semua, minggu depan saya beli,” katanya.

Sementara itu, rata-rata netizen tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan individu terbabit yang dianggap ‘kasar’ dan ‘tidak beretika’, malah seperti cuba memprovokasi Dr Muhamad Saleh.

“Boleh pun,” katanya apabila Dr Muhamad Akmal mengatakan beliau akan menyediakan sendiri kerusi dan meja untuk pelajar itu.

“Boleh, ustaz ada jumpa saya tak, mengenai masalah ni, kalau Jaim tak boleh buat kerja ganti orang lain yang boleh buat kerja cepat,” kata Dr Muhamad Akmal.

“Saya setuju tu, ganti je lah, saya pun nak balik,” ujar kakitangan terbabit.

“Tak apa balik, kalau tak boleh kerja dengan rakyat Melaka, balik,” tegas Dr Muhamad Akmal. – 16 Mei, 2024

Topics

 

Hangat

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Elderly, disabled face ‘roadblocks’ as public transport goes fully digital

Consumer group urges government and public transport companies to be more inclusive with digitalisation approach

Cops to call up 13 varsity students who joined Jan 25 anti-graft rally

Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia rep says this includes three from Sabah who would have to fly to KL; summoned rallygoers may meet police together on Sunday to receive notice

Related