KUALA LUMPUR — Belum tiba masanya Universiti Teknologi Mara (UiTM) membuka keseluruhan program ditawarkannya kepada bukan Bumiputera.
Bekas Naib Canselornya, Prof Datuk Roziah Mohd Janor berkata, terdapat salah faham dalam cadangan diutarakan Profesor di Fakulti Perubatan UiTM, Raja Amin Raja Mokhtar agar program pasca siswazah pembedahan kardiotoraks ditawarkan fakulti itu diperluas kepada doktor pelatih bukan Bumiputera.
“Program pasca siswazah pembedahan kardiotoraks UiTM dibangunkan dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN), masa saya Naib Canselor ketika itu tidak ada masalah untuk fakulti bangunkan program ini kerana UiTM ada pakar hebat.
“Cuma isunya baru-baru ini, pada program parellal pathway yang ditawarkan oleh badan profesional luar (luar negara) tetapi difahamkan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) tidak bersetuju untuk memperakukan program itu sebab bukan badan akademik atau universiti yang jalankan.
“Oleh kerana kebanyakan pelajar yang mengikuti program parellal itu bukan Bumiputera, jadi kenyataan itu (Raja Amin) rasanya dia cuba nak bantu, maknanya (pelajar) yang (kelayakan) tidak diiktiraf itu masuklah program UiTM yang sudah ada dan sedang berjalan itu,” katanya ketika dihubungi Scoop hari ini.

Beliau menegaskan, kenyataannya bukan mahu menyokong pandangan Raja Amin, cuma kekeliruan dan salah faham dapat dielakkan sekiranya kenyataan rasmi dikeluarkan Naib Canselor UiTM dan begitu juga Majlis Perubatan Malaysia (MMC) (dalam isu kekurangan pakar perubatan).
“Itu sahaja sebenarnya, bila dia (Dr Raja Amin) kata bukalah laluan kepada mereka (yang sudah menjalani program parellal) yang majoritinya bukan Melayu itu (untuk dibantu) supaya bagilah masuk UiTM.
“Tapi bila media tulis buka UiTM kepada bukan Bumiputera, itu yang ramai respons, mereka sangka untuk semua program di UiTM,” katanya.
Roziah berkata, beliau tetap kekal bersetuju bahawa UiTM perlu mempertahan objektif asal penubuhannya, iaitu melindungi dan membangunkan pelajar Bumiputera seperti termaktub dalam Perkara 173 yang terbit daripada Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
“Jadi belum sampai masanya UiTM nak dibuka keseluruhan programnya kepada bukan Bumiputera.
“Buka keseluruhannya, memang tidak boleh, sebab orang Melayu dan Bumiputera ini masih berhadapan cabaran, bukan sahaja cabaran antara bangsa Melayu, Cina dan India, tapi soal dalam kalangan Melayu itu sendiri, ada yang ambil berat soal pendidikan ada yang tidak.
“Jadi biarlah UiTM itu menjadi ruang kepada Bumiputera, jangan ada pihak pandang seolah-olah hendak memenangkan Bumiputera, sebaliknya kena bagi ruang untuk berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan yang lain.

“Ia lebih kepada hendak memajukan Bumiputera yang kurang pendedahan terutama dalam bidang baharu bukan sahaja perubatan malah bidang lain termasuk kecerdasan buatan (AI),” katanya.
Susulan kenyataan Raja Amin itu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) merayu agar UiTM mengutamakan kepentingan kesihatan awam dengan membuka sementara program pasca siswazah pembedahan kardiotoraks kepada pelajar bukan Bumiputera bagi mengatasi kekurangan pakar dalam bidang tersebut.
Presidennya, Dr Azizan Abdul Aziz merayu kepada UiTM sekiranya universiti itu boleh membuka pintunya kepada pelajar antarabangsa, ia sudah pasti boleh membenarkan rakyat Malaysia belajar di sana, terutamanya bagi memenuhi keperluan mendesak untuk pakar kardiotoraks.
Namun susulan desakan itu, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM melancarkan kempen bantahan pembukaan universiti tersebut kepada golongan bukan Bumiputera dan menggesa semua pelajar agar memakai pakaian berwarna hitam hari ini.
MPP dalam satu kenyataan memaklumkan, kesemua 214 ahlinya dengan tegas mempertahankan objektif penubuhan UiTM sebagai sebuah institusi untuk orang Melayu, Orang Asli dan Bumiputera Sabah dan Sarawak. – 16 Mei, 2024