Fahmi kecam tindakan Meta turunkan laporan berita PM jumpa pemimpin Hamas

Fahmi kesal tindakan ini dilakukan sebuah organisasi yang secara umumnya dianggap berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dan jelas tidak hormati hak kebebasan media untuk menggunakan platform mereka

4:12 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi mengecam tindakan syarikat pengendali media sosial, Meta kerana menurunkan laporan berita mengenai pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemimpin Hamas di Qatar, kelmarin.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pengendali media sosial bulan depan untuk meminta penjelasan mengenai tindakan tersebut.

“Saya kesal tindakan ini dilakukan sebuah organisasi secara umumnya dianggap berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dan jelas mereka tidak hormati hak kebebasan media untuk menggunakan platform mereka.

“InsyaAllah kita akan adakan pertemuan dengan semua platform media sosial pada Jun dan akan bangkitkan perkara ini, minta penjelasan supaya pelaporan rasmi mengenai tugasan atau aktiviti rasmi PM tidak diperlakukan sedemikian rupa,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan pertemuan Anwar bersama Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh di Qatar kelmarin mencetus pelbagai andaian lebih-lebih lagi ketika nama Malaysia sendiri dikaitkan dengan penyaluran dana kepada Hamas.

Pertemuan tertutup antara Perdana Menteri dan Haniyeh berlangsung lebih sejam ketika Anwar dalam misi lawatan rasmi ke Qatar.

Difahamkan pertemuan Perdana Menteri dan Haniyeh kelmarin adalah yang pertama secara bersemuka selepas Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada November 2022.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sudah mengeluarkan surat kepada Meta bagi mendapatkan penjelasan mengenai laporan berita yang diturunkan itu.

Beliau memetik kes sama pada tahun lalu apabila laporan berita Anwar semasa perhimpunan Kerajaan Perpaduan dalam solidaritinya untuk Palestin diturunkan, tetapi dimuat naik semula selepas aduan daripada kerajaan.

Beberapa agensi media seperti Malaysiakini BM dan Sinar Harian, memaklumkan kepada Kementerian Komunikasi bahawa laporan mereka mengenai pertemuan Anwar dengan pemimpin Hamas diturunkan kerana mengandungi “simbol, pujian atau sokongan terhadap individu yang ditakrifkan organisasi tersebut (Meta) sebagai berbahaya.”

Bagaimanapun setelah diteliti, Fahmi berkata, tiada satu pun laporan tersebut mempunyai aspek yang didakwa oleh Meta.

Ditanya sama ada pertemuan Anwar boleh membawa kepada tindak balas ekonomi daripada negara Barat, Fahmi berkata, kerajaan tidak terlibat dalam perjuangan Hamas.

“Pendirian kerajaan ialah kita tidak mempunyai hubungan dengan sayap militan, tetapi semua parti politik di Malaysia mempunyai hubungan dengan sayap politiknya.

“(Ini) atas dasar perjuangan kami untuk menegakkan Palestin… Kami mengambil tindakan sewajarnya yang tidak bercanggah dengan undang-undang dan prinsip ‘dari sungai ke laut, Palestin akan bebas’,” katanya. – 15 Mei, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related