Tak faham kenapa nak dedah, tayang baki akaun KWSP di media sosial?: Penganalisis

Tindakan menayang baki akaun simpanan di media sosial ibarat memberi 'jalan mudah' kepada scammer menjejaki maklumat individu terbabit

10:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR — Tindakan segelintir pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang galak berkongsi tangkapan layar baki akaun simpanan mereka di platform media sosial dikhuatiri boleh mengundang bahaya kepada diri sendiri.

Bercakap kepada Scoop, penganalisis jenayah, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, niat sebenar golongan tersebut ‘menayang’ akaun KWSP tidak difahami dan ia hanya akan mendedahkan mereka kepada scammer dan penjenayah.

“Saya tak faham kenapa mereka nak dedah baki akaun simpanan sebab ia amat berbahaya sekali gus boleh mengundang kepada scammer atau perompak untuk lakukan jenayah.

Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim menyarankan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) agar menutup akaun Facebook yang menggalakkan orang ramai berkongsi baki akaun simpanan KWSP masing-masing – Gambar internet, 15 Mei, 2024

“Kenapa mereka begitu berani nak dedahkan kerana perkara itu seharusnya menjadi rahsia peribadi masing-masing dan tidak perlu bercerita dengan orang. Apa tujuan sebenarnya, dia nak cakap dia ada duit sebanyak itu?

“Bila anda berkongsi, anda sebenarnya buka ruang dan peluang kepada scammer dan perompak untuk menjejaki anda. Kita perlu menguar-uarkan kepada masyarakat apa yang mereka buat ini adalah bahaya dan tidak betul,” katanya.

Dalam pada itu, Shahul turut menyarankan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) agar menutup akaun Facebook yang menggalakkan orang ramai berkongsi baki akaun simpanan KWSP masing-masing.

Langkah itu wajar diambil bagi mengelak sebarang kes penipuan berlaku di kemudian hari melibatkan pencarum KWSP.

Shahul juga berpendapat ada keperluan untuk diuar-uarkan kepada masyarakat tindakan berkongsi hal peribadi seperti baki akaun simpanan KWSP adalah bahaya dan tidak betul – Gambar Scoop, 15 Mei, 2024

“MCMC ada kuasa untuk menutup akaun ini atas dasar boleh mendatangkan bahaya kepada mereka yang berkongsi tangkapan layar tersebut.

“Kita tidak akan pernah tahu tindakan penjenayah yang kadangkala mungkin boleh mendatangkan kecederaan atau membawa kematian. Jadi, jangan sesekali beri ruang dan peluang kepada mereka (scammer dan penjenayah),” katanya.

Sementara itu bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengingatkan semua pencarum agar jangan sesekali berkongsi benda yang sepatutnya menjadi rahsia peribadi.

Menurutnya, zaman sekarang golongan scammer hanya menanti peluang dan tindakan menayang baki akaun simpanan di media sosial ibarat memberi ‘jalan mudah’ untuk mereka menjejaki maklumat individu terbabit.

Tan Sri Musa Hassan mengingatkan semua pencarum agar jangan sesekali berkongsi maklumat yang sepatutnya menjadi rahsia peribadi – Gambar Wikipedia, 15 Mei, 2024

“Sekarang ini banyak scammer, mereka (pencarum) sepatutnya jaga rahsia sendiri.

“Kalau jadi mangsa scammer, jangan pula nanti disalahkan kepada pihak polis. (Bercakap pada pengalaman), mangsa-mangsa scammer sebelum ini sering kali salahkan polis sekiranya lambat mengesan (penjenayah).

“Tapi mereka lupa yang mereka juga memberi ruang dan peluang kepada risiko berlakunya jenayah tersebut,” katanya.

Terdahulu, KWSP menerusi hantaran di Instagram memberi peringatan kepada pencarum untuk tidak mendedahkan atau berkongsi tangkapan layar baki akaun simpanan di media sosial kerana tindakan tersebut hanya akan mengundang padah, antaranya ancaman scammer. – 15 Mei, 2024

Topics

 

Hangat

Summoned five times: Nazri Aziz on facing US State Dept on Palestine, global issues

Former envoy shares how he used facts and United Nations’ principles to defend Malaysia’s independence

How will M’sia recoup US$248 mil from Riza Aziz after 1MDB suit withdrawal?: Guan Eng

Putrajaya, which entered a deal with Datuk Seri Najib Razak’s stepson as part of a global settlement on 1MDB asset recovery, must explain the public interest matter

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related