KUALA LUMPUR – Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun, Agnes Jong Anak Adam ditemukan rentung di ruang tamu rumahnya dalam kebakaran di Kampung Lasing, Ranau, Sabah awal pagi tadi.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba, Ridwan Mohd Taib, sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian dan setibanya di situ, api telah marak.
Jelasnya, lapan anggota bomba ditugaskan memadamkan kebakaran di kediaman tersebut yang terletak kira-kira tiga kilometer dari balai bomba tersebut.
“Kebakaran dikawal sepenuhnya pada 2.55 pagi,” katanya.
Beliau memberitahu, mayat remaja diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 4.26 pagi tadi. – 14 Mei, 2024