KUALA LUMPUR — Akaun Fleksibel atau Akaun Tiga yang diperkenalkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), menyaksikan rata-rata pencarum memilih membuka simpanan itu, bagi tujuan kecemasan atau perbelanjaan di saat benar-benar memerlukan.
Ia dapat dilihat apabila KWSP Jalan Raja Laut ‘diserbu’ ratusan pencarum seawal pagi hari ini, bagi mengemas kini nombor telefon untuk urusan kod pengesahan transaksi (TAC) menerusi mesin Self-Service Terminal disediakan di pekarangan bangunan berkenaan.
Mereka perlu berbuat demikian kerana pindahan dari Akaun Sejahtera, iaitu Akaun Dua ke Akaun Fleksibel, memerlukan pengesahan nombor TAC sebelum proses itu dapat diteruskan menggunakan aplikasi KWSP i-Akaun.
Seorang pencarum yang ditemui Scoop, Fatin Amirah Abdul Hadi, 31, berkata, dia memilih membuka akaun tersebut sebagai simpanan kecemasan pada masa tidak dijangka.
“Peluang diberikan ini adalah satu perkara baik sebab sekarang akan ada akaun simpanan yang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa.
“Untuk saya sebagai orang bujang, kadang-kadang ada ketika waktu terdesak kita nak pakai duit, contohnya seperti ketika di zaman pandemik Covid-19 yang memerlukan perbelanjaan tertentu.
“Tetapi untuk proses membuka akaun ini saya terpaksa ke KWSP, memandangkan aplikasinya tidak boleh digunakan kerana ‘tersekat’ (jammed),” katanya.
Memberikan pandangan senada, Vasugi Ganesan, 53, berkata, pilihan baharu diberikan KWSP itu adalah alternatif untuk pencarum menyimpan, memandangkan keadaan ekonomi tidak menentu menyukarkan orang ramai membuat simpanan secara konsisten.
“Saya memang nak tukar ke Akaun Fleksibel tapi aplikasi memang tak boleh buka dari semalam, jadi sebab itu saya datang sendiri ke pejabat KWSP.
“Saya melihat langkah ini baik kerana kita boleh keluarkan wang bila-bila masa jika tiada duit untuk membeli barangan keperluan harian atau untuk kes kecemasan.
“Bila saya tengok ramai transfer (pindahkan), saya pun transfer sahaja untuk kegunaan di masa tidak terjangka nanti,” katanya.
Norisah Wahab, 53, pula berkata, dia menggunakan kesempatan ditawarkan KWSP itu untuk membuka Akaun Fleksibel kerana ‘tidak sanggup’ menunggu dua tahun, sebelum boleh mengeluarkan simpanan di akaun lain.
Menurutnya, wang dalam akaun ketiga itu akan digunakan untuk menampung perbelanjaan keperluan harian keluarganya.
“Saya memilih pindahkan Akaun Dua kepada Akaun Tiga untuk ‘standby’ (persediaan) kecemasan serta kegunaan harian.
“Kalau nak tunggu dua tahun lagi, macam agak lama kerana kita perlukan duit untuk masa sekarang (kecemasan dan keperluan harian),” katanya.
Terdahulu, KWSP memperkenalkan Akaun Fleksibel bagi membolehkan pencarum mengeluarkan simpanan pada bila-bila masa untuk sebarang tujuan, dengan tertakluk kepada amaun minimum RM50.
Kenyataan KWSP memaklumkan, permohonan bagi pengeluaran daripada Akaun Fleksibel boleh dibuat melalui KWSP i-Akaun atau di mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara.
Tujuan pemberian pilihan pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel adalah bagi membolehkan ahli membuat pengeluaran daripada akaun itu, tanpa perlu menunggu caruman baharu.
Amaun akan dipindahkan adalah berdasarkan baki Akaun Sejahtera (Akaun Dua) ahli semasa pilihan ini dibuat.
Kaedah pindahan dilakukan mengikut dua pecahan, iaitu pertama baki ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM3,000 dan ke atas dalam Akaun Sejahtera, manakala kedua, baki dalam akaun sama adalah kurang dari RM3,000.
Ahli boleh membuat pilihan pindahan amaun permulaan bermula 12 Mei hingga 31 Ogos 2024 dan ia hanya boleh dilakukan sekali pada bila-bila masa, sepanjang tempoh terbabit serta tidak boleh dibatalkan. – 13 Mei, 2024