Dakwaan Hari Ibu haram, individu meraikannya perlu taubat: Hukumnya dibenarkan, tidak bercanggah syarak

Sambutan berkenaan dilaksanakan bagi memuliakan insan bergelar ibu, selain menzahirkan penghargaan atas segala jasa dan pengorbanannya

8:39 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Di sebalik kemeriahan Hari Ibu yang diraikan di seluruh dunia termasuk di Malaysia, tercetus persoalan dibangkitkan segelintir individu yang mempersoalkan hukum seseorang muslim menyambutnya.

Persoalan itu tercetus selepas ada pihak tertentu menyifatkan sambutan berkenaan, dimulakan di negara barat dan zaman tamadun purba yang dianggap mengagungkan dewi kepercayaan masing-masing.

Menjawab persoalan itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan memaklumkan, hukum seseorang muslim meraikan Hari Ibu adalah dibenarkan dan tidak bercanggah syarak kerana ia tidak termasuk dalam perayaan keagamaan.

Katanya, sambutan berkenaan dilaksanakan bagi memuliakan insan bergelar ibu, selain menzahirkan penghargaan atas segala jasa dan pengorbanan dilakukan insan mulia itu dalam mendidik serta membesarkan anak.

“Namun, amalan menghargai jasa dan pengorbanan ibu ini tidak terhad pada masa atau tarikh tertentu.

“Malah kewajipannya berpanjangan dan berkekalan sebagaimana dititikberatkan dalam Al-Quran serta Sunnah Nabi SAW,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Kenyataan itu sebagai menjawab persoalan dikemukakan seorang individu mengenai hukum sekiranya muslim meraikan Hari Ibu.

“Apakah hukum seorang Muslim menyambut perayaan Hari Ibu? Adakah sambutan ini dianggap menyerupai golongan kafir? Mohon pencerahan Datuk Mufti,” soalnya.

Jelasnya, Islam memandang tinggi darjat dan kemuliaan kedua ibu bapa, dengan ia dinyatakan menerusi banyak ayat Al-Quran dan hadis yang menegaskan mengenai kewajipan memuliakan kedua-dua mereka, selain kewajiban berbakti terhadap mereka.

“Menurut ulama kontemporari, terdapat dua pandangan menyambut hari ibu, iaitu haram apabila membabitkan penglibatan umat Islam dalam apa-apa perayaan yang menyerupai agama lain dan ia dilarang menurut syarak.

“Pandangan lain adalah harus seperti menurut Fatwa Jordan, sekiranya yang dimaksudkan oleh Hari Ibu apabila mereka menghargai ibu masing-masing dan menghadiahkan ibu dengan hadiah, maka ia bukanlah termasuk dalam istilah perayaan,” katanya.

Pada masa sama, ia menjadi harus apabila diraikan sebagai hari menghargai dan menzahirkan kasih sayang untuk ibu.

“Memuliakan ibu pada hari tersebut dalam pengertian ini, adalah adat kebiasaan yang tidak bercanggah syarak, dengan menekankan kepentingan mensyukuri dan menghargainya tanpa mengira masa serta tempat,” katanya.

Ujarnya, memuliakan ibu pada sambutan hari berkenaan bukan dianggap satu tasyabbuh dilarang kerana ia tidak melibatkan upacara khusus dalam agama lain yang bertentangan dengan akidah Islam.

“Syeikh al-Tibiy menjelaskan bahawa dimaksudkan dengan tasyabbuh yang haram adalah meniru syiar agama orang kafir.

“Pandangan ini tidak bertentangan dengan fatwa ulama mazhab Syafi’i di atas kerana maksud haram adalah, jika peniruan itu berunsurkan upacara agama, manakala, sambutan hari ibu pada zaman kini tiada kaitan dengan agama bahkan ia sekadar adat,” katanya. – 13 Mei, 2024

Topics

 

Hangat

New MM2H rules: reduced deposits and age limits for special economic zone applicants

They must only be 21 years old, deposit US$65,000 in Malaysian bank, half of which can be withdrawn under certain conditions after approval

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Related