Cikgu Tarmizi guna elaun pedalaman wujudkan The Cafe Class demi keselesaan, keseronokan murid

Bagi memastikan anak murid menempa kejayaan, guru sanggup berkorban masa, tenaga dan wang sendiri untuk memastikan suasana pembelajaran selesa

5:13 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Seandainya ditanya kepada mana-mana guru apakah kepuasan mereka sebagai pendidik, sudah tentu jawapannya apabila melihat anak murid menjadi insan berjaya dan mampu menyumbang kebaikan kepada keluarga, bangsa serta negara.

Justeru, bagi memastikan anak murid menempa kejayaan, guru sanggup berkorban masa, tenaga dan wang sendiri untuk memastikan suasana pembelajaran selesa.

Ia sama seperti kisah dikongsikan seorang guru yang mengajar di pedalaman, iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kut Daro yang terletak di Pulau Bruit, Sarawak.

Perkongsian menerusi Facebook Cikgu Al Tarmizi itu menarik perhatian ramai yang kagum dengan pengorbanannya menyediakan suasana kelas lebih selesa, ceria dan ‘sedap mata memandang’ kepada anak muridnya, melalui projek dinamakan The Cafe Class.

Cikgu Al Tarmizi berkata, walaupun mengajar di sekolah pedalaman, ia bukan alasan untuk dia tidak mewujudkan suasana yang kondusif agar muridnya seronok menuntut ilmu – Facebook Cikgu Al Tarmizi, 13 Mei, 2024

Konsep The Cafe Class itu menampilkan kelas dipenuhi ‘kebun kobis’ bagi mewujudkan elemen kehijauan untuk pelajar menuntut ilmu dalam keadaan lebih tenang.

Malah, terdapat sudut minuman disediakan di kelas itu, selain ruang meletakkan biskut dan kek, dinamakan ‘Food 4U’ untuk dinikmati pelajar sekiranya mereka lapar.

Usaha guru terbabit melakukan transformasi kelas dengan memaparkan gambar sebelum dan selepas projek itu dilaksanakan, turut mendapat pujian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang berkongsi semula pautan akaun Facebook berkenaan dengan keterangan ‘Selamat Hari Guru, Cikgu’ berserta emoji hati.

Menerusi kisah mengenai transformasi terbabit, Cikgu Al Tarmizi atau nama penuhnya Muhamad Tarmizi Awang@Yaacob berkata, demi ilmu untuk anak murid, dia menggunakan sebahagian daripada elaun pedalaman bagi merealisasikan projek berkenaan.

Cikgu Al Tarmizi yakin dan percaya ramai rakan-rakan guru di luar sana turut berhabis dan melakukan yang terbaik untuk anak didik mereka – Facebook Cikgu Al Tarmizi, 13 Mei, 2024

“Dari kelas biasa ke yang lebih selesa. Sempena Hari Guru yang bakal tiba, saya kongsikan sedikit dekorasi guru pedalaman buat rakyat Malaysia semua.

“Ada orang tanya saya mana pergi gaji cikgu? Saya gunakan sedikit elaun pedalaman untuk cantikkan kelas, ada rezeki lebih kita buat lebih.

“Bulan 12 ini ada kenaikan gaji, terima kasih PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim), dapat lah saya berkongsi lagi (untuk projek keselesaan murid),” katanya.

Cikgu Al Tarmizi berkata, walaupun mengajar di sekolah pedalaman, ia bukan alasan untuk dia tidak mewujudkan suasana yang kondusif agar muridnya seronok menuntut ilmu.

“Saya yakin dan percaya ramai rakan-rakan guru di luar sana buat sehabis baik untuk anak didik mereka.

“Ramai di antara guru sanggup berhabis wang ringgit untuk kemenjadian anak didiknya,” katanya.

Selain daripada berterima kasih kepada ibu bapanya di atas dorongan dan doa, Cikgu Al Tarmizi juga berterima kasih kepada Guru Besar SK Kut Daro yang memberi sepenuh sokongan – Facebook Cikgu Al Tarmizi, 13 Mei, 2024

Berkongsi kisah pembabitan awalnya sebagai guru, Cikgu Al Tarmizi berkata, minatnya untuk menceburi kerjaya sebagai pendidik itu timbul selepas sering mendengar perkongsian cerita ayahnya yang mahu menjadi guru sejak kecil, tetapi cita-cita itu tidak kesampaian.

“Beliau (ayah) sangat berminat menjadi guru, tapi apakan daya hanya mampu bersekolah sampai Darjah Empat, jadi timbullah minat saya untuk bergelar pendidik bagi merealisasikan impian ayah dulu,” katanya.

Bagaimanapun, Cikgu Al Tarmizi berkata, laluannya menjadi guru agak berliku, namun berkat doa dan usaha, dia berjaya merealisasikannya.

“Terima kasih ibu dan ayah kerana menjadi guru pertama saya. Terima kasih Guru Besar SK Kut Daro yang memberi sepenuh sokongan.

“Inilah sekolah saya mula-mula masuk sekolah dahulu, (barulah merasa sekolah pedalaman), tetapi itu semua bukan penghalang untuk terus menjadi pendidik. Jatuh ke laut menjadi pulau.

“Saya mengajar di sekolah pedalaman Sarawak dan masih menikmati pengalaman hebat ini,” katanya. – 13 Mei, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Hartalega Holdings falls prey to ransomware attack, internal systems down

According to an urgent notice sent out by its IT team to personnel in the Bursa-listed firm’s wholly-owned subsidiaries Hartalega NGC Sdn Bhd and Hartalega Sdn Bhd, a number of applications and softwares are currently inaccessible due to the attack.  

Related