Kasino di Forest City: Fitnah liar cuba cemar imej Johor, ulangi persepsi negatif 2018

Onn Hafiz berkata ia adalah fitnah yang tidak masuk akal, hanya berunsurkan niat jahat untuk mencemar imej Forest City dan Johor keseluruhannya

11:58 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Cadangan pembinaan kasino di Forest City adalah satu fitnah dan berniat jahat, untuk mencemarkan imej pembangunan hartanah di kawasan berkenaan, kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Menurut Onn, ia dilihat sebagai mengulangi usaha untuk menimbulkan persepsi negatif bagi menggagalkan Forest City seperti dilakukan pihak tertentu pada 2018.

“Berita berhubung pembinaan dan pengurusan lesen kasino di Forest City adalah satu fitnah liar dan tidak benar sama sekali. Ia tidak ubah umpama bau busuk tidak berbangkai atau rantai besi dimakan bubuk.

“Ini adalah fitnah yang tidak masuk akal, melainkan hanya berunsurkan niat jahat untuk mencemar imej Forest City dan Johor keseluruhannya, cukup-cukuplah,” katanya.

Beliau menjawab menjawab soalan lisan Liow Cai Tung (PH-Johor Jaya) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini hari ini.

Cai Tung ingin mengetahui perkembangan terkini mengenai pembangunan di Forest City dan dakwaan mengenai cadangan pembinaan kasino di situ.

Sebelum ini sebuah portal melaporkan Malaysia sedang berunding dengan beberapa taikun untuk menubuhkan kasino di Forest City – projek bernilai AS$100 bilion (RM480 bilion) di Johor yang didakwa sedang berdepan kemungkinan menjadi gajah putih.

Portal perniagaan itu memetik sumber yang menyebut Perdana Menteri berjumpa dengan pengasas Berjaya Corp Vincent, Tan dan Lim Kok Thay dari Kumpulan Genting dalam satu mesyuarat makan tengah hari minggu lalu untuk membincangkan perkara berkenaan.

Berikutan itu, laporan polis telah dibuat oleh peguam ahli perniagaan terbabit dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Tidak betul, tiada lesen kasino di Forest City: PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pada itu turut menegaskan tiada lesen kasino akan diluluskan kerajaan di Forest City.

Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata, pembangunan di Forest City bakal memberikan pelbagai manfaat kepada rakyat dan juga pembangunan ekonomi Johor, serta Malaysia secara amnya.

“Ini adalah masa terbaik untuk kita kembali membangunkan Forest City dengan sokongan padu kerajaan Persekutuan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ia (Forest City) akan beri manfaat langsung dan tak langsung kepada Bangsa Johor dan Malaysia,” katanya. – 13 Mei, 2024

Topics

 

Hangat

All England: Malaysia’s top shuttlers under fire after disastrous outing

BAM acting president demands answers as national stars struggle in Birmingham

LGE’s chairmanship in focus at DAP CEC polls: party veteran

Penang DAP veteran says leadership renewal will be a key issue as the party looks ahead

Hannah backs Joehari to elevate Harimau Malaya

Youth and Sports Minister Hannah Yeoh expresses confidence in Datuk Mohd Joehari Mohd Ayob’s leadership potential as the next FAM president

Related