KUALA LUMPUR – Tindakan sekumpulan belia yang memasak menggunakan dapur gas mini di sebuah stesen minyak dipercayai di Genting Highlands mengundang kemarahan ramai.
Ia bukan sahaja mengancam keselamatan ramai malah melanggar Prosedur Standard Operasi (SOP) stesen minyak.
Ia susulan video tular berdurasi 1.02 minit yang menunjukkan sekumpulan belia memasak megi di atas dapur gas mini berhampiran stesen minyak. Turut kelihatan dalam video itu adalah nuget dan sosej goreng.
Ketika mereka sedang menikmati juadah, kedengaran siren polis namun ia mereka terus menyambung makan.
“Sambung makan dulu, benda dah masak,’’ demikian kapsyen yang tertulis dalam video tersebut.
Video asal berkenaan adalah dari aplikasi TikTok kemudian dinaikkan di platform media sosial lain.
Pemantauan Scoop mendapati video asal di TikTok itu bagaimanapun sudah dipadamkan.
Ia turut menarik perhatian Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman yang turut menegur perbuatan tidak bertanggungjawab itu.
“Tolonglah jangan buat hal macam ni. Kalau terjadi apa-apa akan menyusahkan ramai pihak. Benda memang seronok tapi kesannya buruk,’’ katanya menerusi aplikasi X hari ini.
Young Shefura mengulas mengenai video berdurasi 1.02 minit yang dimuatnaik oleh seorang pengguna X, localrkyt yang melahirkan kebimbangan dengan keadaan tersebut.
“Macam mana diorang ni boleh terfikir nak pasang stove dekat stesen minyak?,’’ soalnya.
Selain beliau, netizen turut memberikan komen-komen yang pedas dan mahu tindakan diambil ke atas kumpulan tersebut.
“Bodoh masak kat petrol pam, .kat area underground tank (tangki bawah tanah) pulak tu. Dah boleh saman mereka yang memasak ini, nombor plat kereta pun ada,’’ kata LaPoca
Ada juga yang mempertikaikan kerana pekerja di stesen tersebut tidak melarang atau menghalau kumpulan tersebut yang memasak di dalam kawasan terbabit.
Ramai yang menyuarakan kemarahan kerana bimbang jika berlaku letupan akibat kecuaian tersebut dan mahu pihak berkuasa mengambil tindakan.
Macam mana diorang ni boleh terfikir nak pasang stove dekat stesen minyak? 😰 pic.twitter.com/BvBr5h8It9
— 🇲🇾 (@localrkyt) May 12, 2024
Tidak kurang pula yang mahu pemilik stesen minyak terbabit memeriksa keselamatan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) mengenai aktiviti yang boleh menjejaskan keselamatan ramai. – 13 Mei, 2024