‘Menghilangkan dahaga rindu’, foto, coretan Ahmad Zahid sambut Hari Ibu di pusara bonda undang sebak

“Bagi yang masih mempunyai ibu di sisi, berilah sepenuh perhatian, luangkanlah masa dan hargailah mereka dengan sepenuh hati."

10:24 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Di sebalik kegembiraan anak-anak lain meraikan Hari Ibu di sisi insan yang melahirkan mereka itu, perkongsian Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada sambutan istimewa tersebut mengundang sebak netizen.

Menerusi foto dikongsikannya di Facebook hari ini, Timbalan Perdana Menteri itu dilihat berdoa di pusara ibunya dengan ditemani anaknya, Datuk Nurulhidayah serta beberapa individu lain

“Singgah sebentar menziarahi pusara ibu dan ayahku. Menghilangkan dahaga rindu di hari yang ramai menyambutnya bersama seorang ibu.

“Berdoa semoga Allah SWT mencucuri rahmat dan maghfirahNya, menjadikan kuburannya sebahagian dari taman-taman syurga, selain menggolongkan ibu dalam kalangan insan solehah yang beroleh jannah.

“Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan,” tulisnya menerusi keterangan di foto itu dengan turut meletakkan tanda pagar #KasihIbu #RinduSeorangAnak.

Ibu Ahmad Zahid, Tuminah Abdul Jalil meninggal dunia pada 1 Oktober 2011, jam 1.40 pagi kerana angin ahmar serta komplikasi jantung.

Jenazah Allahyarhamah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Nipah Darat, Bagan Datuk, Perak.

Allahyarhamah, 81, meninggalkan suami, Hamidi Abdul Fateh dan sembilan anak, termasuk Ahmad Zahid yang merupakan anak sulung.

Pada 8 Ogos 2014 pula, Hamidi menghembuskan nafas terakhir akibat jangkitan paru-paru.

Sementara itu, rata-rata netizen turut mendoakan Allahyarham dan Allahyarhamah ibu bapa Ahmad Zahid, selain mengharapkan kedua-dua mereka ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta beramal.

Terdahulu, menerusi hantaran lain di media sosial sama, Ahmad Zahid mengucapkan Selamat Hari Ibu dua insan bergelar ibu yang memberi impak besar dalam kehidupannya, iaitu Tuminah dan isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis.

“Dedikasi dan kasih sayang kedua-duanya terhadap diri dan seluruh kehidupan saya adalah tidak terhingga.

“Hanya Allah SWT dapat membalas jasa dan bakti yang mereka curahkan kepada diri saya serta keluarga tercinta,” katanya.

Hari ibu diraikan pada Ahad minggu kedua Mei setiap tahun, dengan disambut di seluruh dunia sebagai simbolik penghargaan kepada setiap ibu yang berkorban melahirkan serta membesarkan anak.

Ahmad Zahid turut memberikan ucapan sama kepada semua insan bergelar ibu atau apa jua panggilan diberikan anak masing-masing kepada individu istimewa itu, atas pengorbanan tanpa mengenal erti jemu dan lelah mereka dalam mengasuh, mendidik serta memberi kasih kepada anak.

“Bagi yang masih mempunyai ibu di sisi, berilah sepenuh perhatian, luangkanlah masa dan hargailah mereka dengan sepenuh hati.

“Bagi yang sudah tiada (ibu), semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh mereka yang banyak berkorban demi membesarkan anak dan menunaikan amanah dengan sebaik-baiknya. Terima kasih dan Selamat Hari Ibu 2024!” katanya. – 12 Mei, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Hartalega Holdings falls prey to ransomware attack, internal systems down

According to an urgent notice sent out by its IT team to personnel in the Bursa-listed firm’s wholly-owned subsidiaries Hartalega NGC Sdn Bhd and Hartalega Sdn Bhd, a number of applications and softwares are currently inaccessible due to the attack.  

Aaron, Wooi Yik mean business: extra night training ahead of Paris Olympics

Women’s doubles pair Pearly Tan and M. Thinaah, mixed doubles duo Chen Tang Jie and Toh Ee Wei, will also participate

Related