KUALA LUMPUR – Sempena Hari Ibu yang disambut hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuskan ucapan khas dan penghargaan kepada setiap wanita bergelar ibu.
Dalam ucapan dimuat naik beliau menerusi Facebook, Anwar turut menasihati anak-anak untuk sentiasa menghargai ibu masing-masing selagi masih diberikan kesempatan.
Malah, Perdana Menteri berterima kasih di atas kasih sayang dan pengorbanan setiap ibu, termasuk kepada Allahyarhamah ibunya, Datin Che Yan Hamid dan isteri beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
“Selamat Hari Ibu saya ucapkan buat semua wanita yang bergelar ibu. Ingatan khusus buat Allahyarhamah ibu saya dan Azizah tercinta.
“Kenanglah jasa ibu kita. Dakaplah tubuhnya dan kucuplah tangannya setiap saat selagi Yang Maha Esa mengizinkan waktu untuk kita bersama ibu.
“Terima kasih atas segala pengorbanan, penat lelah dan nasihat tidak putus-putus demi kasih pada anak-anak,” katanya menerusi kenyataan.
Che Yan meninggal dunia pada April 2001 ketika berusia 75 tahun.
Hari Ibu disambut di seluruh dunia pada Ahad minggu kedua Mei setiap tahun sebagai penghargaan kepada golongan istimewa berkenaan – 12 Mei, 2024