KUALA LUMPUR – Seramai 300 bakal jemaah haji yang dilapor terkandas di Makkah dikatakan memasuki Tanah Suci pada awal musim haji ‘untuk menunaikan umrah’.
Perkara itu diberitahu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar kepada Scoop mengenai keberadaan bakal jemaah berkenaan.
Malah beliau berkata, mereka ini dijanjikan untuk terus menetap di Tanah Suci bagi menunaikan haji musim ini.
“Ya (masuk awal ke Tanah Suci) untuk mengerjakan umrah. Jadi dapatlah buat dua-dua, kononnya umrah dan haji bersekali, tak perlu (ikut) kuota haji daripada Tabung Haji (TH).
“Mereka (bakal jemaah haji yang terkandas di Makkah) tak buat aduan lagi, jadi kita tak tahu syarikat yang mengendalikan mereka ini. Saya difahamkan mereka post (buat hantaran) di Facebook, kemudian delete (padam),” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya dan TH sudah banyak kali mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati memilih syarikat pengendali haji dan umrah supaya tidak berterusan ditipu.
“Tetapi masih ada lagi yang termakan dengan janji manis syarikat yang tak bertanggungjawab ini,” katanya.
Dalam kenyataan media sebelum ini, Mohd Na’im berkata, TH diarah menyiasat insiden 300 bakal jemaah terkandas di Makkah ketika ini, akibat terpedaya dengan pakej murah mengerjakan ibadah itu yang ditawarkan agensi pelancongan tidak bertanggungjawab.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersimpati atas nasib menimpa mangsa tersebut dan sudah mengarahkan pihak TH meneliti perkara ini untuk siasatan lebih lanjut.
“Jabatan ingin menasihatkan kepada semua mangsa terbabit di sana untuk menghubungi Kedutaan Malaysia di Arab Saudi bagi mendapatkan bantuan khidmat nasihat,” katanya menerusi Facebook.
Sebagai reaksi kepada kenyataan itu, TH akan berkerjasama dengan pihak Kedutaan Malaysia di Arab Saudi, bagi melakukan siasatan sewajarnya berhubung insiden berkenaan.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, kerjasama itu dilakukan berdasarkan maklumat terperinci daripada mangsa.
Katanya, jemaah yang terkandas juga diminta membuat aduan atau laporan rasmi ke TH dan Kedutaan Malaysia di Jeddah, Arab Saudi dengan segera, bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan. – 12 Mei, 2024