KUALA LUMPUR – Sebuah bas persiaran dengan 40 penumpang hilang kawalan dan terbabas ke dalam parit selepas terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di arah selatan, Kilometer 264.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Ipoh pagi tadi.
Komander Operasi Kanan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sharudi Muhamad Halil memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.28 pagi.
Walau bagaimanapun katanya, pemandu serta 40 penumpang di dalam bas dan seorang mangsa di dalam kereta tersebut selamat.
“Tiada mangsa yang maut. Pasukan bomba bertindak menjalankan operasi penyelamatan bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat dan memberikan perawatan awal kepada mangsa yang cedera,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, mangsa kemudiannya dibawa ke hospital di Ipoh dengan menggunakan dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan bantuan ambulans pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
Katanya, 19 anggota dari dua buah balai berhampiran iaitu BBP Meru Raya dan BBP Kuala Kangsar telah bergegas ke lokasi kejadian dengan membawa dua jentera FRT dan dua kenderaan Unit EMRS sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan. – 12 Mei, 2024