KUALA LUMPUR — Kejayaan calon Pakatan Harapan (PH) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) membuktikan Kerajaan Perpaduan memiliki daya tahan tinggi dan kesepakatan yang kukuh.
Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun Umno dilabelkan pembangkang sebagai UMDAP (Umno-DAP), ia tidak menjejaskan semangat jentera pilihan raya parti itu untuk membantu calon PH dari DAP.
“Biarpun kita dibaling dengan isu UMDAP dan agak sukar untuk kita melakukan penjelasan, namun hakikatnya jalinan BN dan PH menjadi tunjang kepada kerajaan bersama parti lain di Sabah dan Sarawak.
“Tunjang ini mesti diperkukuhkan. Saya telah nyatakan bahawa kepemimpinan DAP banyak membantu calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK). Ini pertama kali calon DAP bertanding di KKB dan tidak salah jika kita membalas budi yang ditabur mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemenangan PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, hari ini.

Calon PH daripada DAP, Pang Sock Tao yang mewakili Kerajaan Perpaduan memenangi PRK DUN KKB dengan memperoleh 14,000 undi.
Beliau menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) daripada Bersatu, Khairul Azhari Saut yang mendapat 10,131 undi.
Calon Bebas, Nyau Ke Xin pula memperoleh 188 undi dan wakil Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainudin yang sekadar meraih 152 undi.
Terdahulu, ketika berucap pada sambutan ulang tahun Umno ke-78 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini malam ini, Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri mengucapkan terima kasih kepada semua jentera BN kerana berjaya mematahkan serangan persepsi pembangkang sepanjang tempoh berkempen PRK tersebut.
“Umno disimbah UMDAP, tahniah kepada jentera Umno dan BN di Kuala Kubu Bharu kerana berjaya mengatasi persepsi ini.
“Saya ucapkan tahniah kepada semua jentera parti, jentera Wanita, Pemuda, Puteri,” katanya. – 12 Mei, 2024