Main isu sensitif sebagai ‘penambah rasa’ punca PN tewas di KKB

Isu sensitif 3R (kaum, agama, institusi diraja) yang dimainkan oleh PN bukan sahaja menjauhkan diri mereka daripada pengundi bukan Melayu, malah turut kehilangan undi Melayu

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Strategi kempen Perikatan Nasional (PN) yang menyentuh isu sensitif seperti sekolah vernakular memakan diri apabila parti itu tewas kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Baharu (PRK KKB).

Bercakap kepada Scoop, Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Azmi Hassan berkata, kekalahan itu memberi tamparan hebat kepada PN yang sering kali memainkan isu sensitif sebagai ‘penambah rasa’ dalam kempen mereka sebelum ini.

“Daripada kemenangan ini, saya dapat simpulkan pengundi Melayu di KKB selesa untuk mengundi calon daripada DAP dan ini memberi tamparan kepada PN.

“Statistik data menunjukkan pengundi Melayu tiada masalah nak undi calon Cina sebab daripada pemerhatian saya, yang penting buat penduduk di sini adalah parti berbanding calon.

“Ternyata kempen yang dimainkan PN memakan diri sendiri kerana mereka perlukan undian daripada kumpulan pengundi Cina dan India untuk menang tapi bila mereka dah mainkan isu 3R (kaum, agama, institusi diraja), itu yang menyebabkan pengundi bukan Melayu berasa terancam,” katanya.

Pang Sock Tao memastikan Pakatan Harapan mempertahankan kerusi DUN Kuala Kubu Baharu dengan majoriti 3,869 undi selepas memperoleh 14,000 undi. – Azim Rahman/Scoop, 12 Mei, 2024

Menurut Azmi, PN sewajarnya belajar sesuatu daripada PRK KKB iaitu jangan sesekali mengancam pengundi bukan Melayu sekiranya inginkan kemenangan.

Ini kerana, pengundi bukan Melayu juga memberikan peratusan besar dan sekiranya golongan tersebut sudah berasa terancam, sudah semestinya PN tidak menjadi pilihan mereka.

“PN patut belajar apa yang mereka perlukan adalah pengundi bukan Melayu jadi bila mereka memainkan isu 3R, perkara itu telah menakutkan pengundi Cina dan India.

“Cara mereka yang berkempen terlampau retorik menyebabkan pengundi bukan Melayu berasa takut dan terancam, sekali gus menyumbang kepada kekalahan tersebut, jadi ini yang harus diperbaiki PN untuk pilihan raya akan datang,” katanya.

Profesor Madya Azmi Hassan berkata, PN sewajarnya belajar sesuatu daripada PRK KKB iaitu jangan sesekali mengancam pengundi bukan Melayu sekiranya inginkan kemenangan. – Gambar Bernama, 12 Mei, 2024

Sementara itu, penganalisis sosiopolitik dari Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya, Universiti Malaya (UMCEDEL), Profesor Madya Awang Azman Awang Pawi berkata, keadaan dan suasana politik yang berbeza di Selangor jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain seperti Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis turut menyumbang kepada kekalahan PN kali ini.

Menurutnya, pengundi di Selangor khasnya di KKB tidak terlalu ekstrem dengan sentimen 3R yang dimainkan PN, sebaliknya rata-rata berfikiran rasional dalam menentukan wakil rakyat yang akan berbakti buat mereka.

“KKB merupakan kawasan kubu kuat PH, PN harus terima hakikat itu. Apa yang berlaku di Kelantan, Perlis itu tidak sama dengan apa yang berlaku di Selangor.

“Sentimen Melayu di negeri Selangor ini tidak terlalu ekstrem seperti di empat negeri di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

“Penduduk di sini lebih rasional. Calon PH merupakan daripada komponen Kerajaan Negeri dan Kerajaan Perpaduan, jadi sudah tentu mereka merasakan calon DAP mampu membawa perubahan ke kawasan mereka,” katanya.

Profesor Madya Awang Azman Awang Pawi berkata, keadaan dan suasana politik yang berbeza di Selangor jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain seperti Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis turut menyumbang kepada kekalahan PN. – Gambar Facebook, 12 Mei, 2024

Pada PRK KKB semalam, PH berjaya mempertahankan kerusi DUN Kuala Kubu Baharu dengan majoriti 3,869 undi selepas calon mereka, Pang Sock Tao yang juga bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan memperoleh 14,000 undi.

Sock Tao menewaskan calon PN, Khairul Azhari Saut yang meraih 10,131 undi, diikuti calon Bebas, Nyau Ke Xin (188) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainuddin meraih 152 undi.

PRK KKB diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong akibat kanser pada 21 Mac lalu. – 12 Mei,2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Clash of civilisations: Bukit Choras relics spark debate on suppression of history – Part 2

Ancient Kedah was unique in the region due to its multicultural nature, but is there a reluctance to develop Lembah Bujang dig sites?

Leaders bicker while Indians suffer, Santiago slams fellow politicians

Veteran DAP man says angry politicians uncaring for the plight of Indians are the reason why some problems remain unresolved over decades

Related