KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) diarah menyiasat insiden 300 bakal jemaah terkandas di Makkah ketika ini, akibat terpedaya dengan pakej murah mengerjakan ibadah itu yang ditawarkan agensi pelancongan tidak bertanggungjawab.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, arahan itu sudah dikeluarkan pihaknya.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersimpati atas nasib menimpa mangsa tersebut dan sudah mengarahkan pihak TH meneliti perkara ini untuk siasatan lebih lanjut.
“Jabatan ingin menasihatkan kepada semua mangsa terbabit di sana untuk menghubungi Kedutaan Malaysia di Arab Saudi bagi mendapatkan bantuan khidmat nasihat,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui TH sentiasa memberi peringatan saban tahun kepada umat Islam di negara ini, supaya lebih berhati-hati dengan sebarang tawaran pakej murah ditawarkan segelintir agensi pelancongan tidak dilesenkan kerajaan.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) turut mengingatkan kepada mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan daripada TH, ia menjadi kesalahan.
“Kesalahan itu boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535),” katanya.
Na’im berkata, TH melantik 25 syarikat pelancongan tempatan untuk beroperasi sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi musim haji tahun ini.
“Ini adalah antara langkah awal persediaan haji dilakukan TH saban tahun.
“Umat Islam adalah dinasihat menggunakan perkhidmatan syarikat dilantik TH sahaja sebagai PJH,” katanya.
Terdahulu, kira-kira 300 bakal jemaah haji yang berada di Makkah, dilapor terkandas apabila agensi yang mengurus perjalanan kumpulan itu, gagal mendapatkan kebenaran untuk mereka mengerjakan ibadah berkenaan pada musim ini.
Kumpulan itu menyedari mereka diperdaya selepas mendapati pakej murah ditawarkan agensi terbabit, menggunakan visa pelancong bagi menunaikan ibadah itu. – 11 Mei, 2024