KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) mengingatkan umat Islam Malaysia lebih berwaspada dengan sebarang pakej haji ditawarkan segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan visa tidak sah.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, pemberian visa haji selain melalui kuota rasmi Malaysia, adalah hak mutlak kerajaan Arab Saudi.
Katanya, kebenaran memasuki kawasan Arafah, Mudzalifah dan Mina (Masyair) untuk menunaikan ibadat haji, hanya diberikan kepada jemaah yang mempunyai visa haji sah.
“Manakala visa lain bagi tujuan pelancongan, pekerjaan, perniagaan, pengajian, umrah dan sebagainya tidak akan dibenarkan Kementerian Haji dan Umrah Arab.
“Setiap kali tibanya musim haji, akan muncul segelintir pihak cuba membuat pelbagai tawaran visa dan pakej haji di luar kuota haji negara.
“Justeru, penting untuk orang ramai memeriksa dengan teliti terlebih dahulu setiap tawaran diberikan, termasuklah jenis visa digunakan,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata, kerajaan Arab Saudi giat memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kecekapan prosedur musim haji, demi kelancaran proses ibadat dan keselamatan jemaah haji seluruh dunia.
“Kerajaan Arab Saudi akan melaksanakan kawalan keselamatan lebih ketat semasa kemuncak haji, dengan sistem pengesahan jemaah haji lebih efisien, bagi memeriksa setiap jemaah yang masuk ke kawasan Masyair .
“Sebarang penggunaan visa tidak sah, akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang kerajaan tempatan dan penalti sebanyak SAR10,000 (lebih RM12,000),” katanya.
Syed Hamadah berkata, TH turut menasihati bakal jemaah haji hanya menggunakan perkhidmatan pakej haji ditawarkan 25 syarikat pengendali jemaah haji (PJH) yang dilesenkan TH bagi Musim Haji 1445H/2024M.
“Mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa lesen daripada TH, menjadi kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535),” katanya. – 11 Mei, 2024