PM Singapura gembira hubungan dengan Malaysia tapi masih ada isu perlu diselesaikan penggantinya

Sepanjang 20 tahun beliau menjadi Perdana Menteri Singapura kemajuan telah dicapai dalam beberapa isu, termasuk Pulau Batu Puteh dan tanah Keretapi Tanah Melayu

11:37 PM MYT

 

SINGAPURA – Perdana Menteri Singapura yang bakal berundur, Lee Hsien Loong berkata, hubungan republik itu dengan negara jiran Malaysia ‘umumnya baik’ sepanjang tempoh perkhidmatannya, tetapi masih ada beberapa isu yang perlu diselesaikan penggantinya.

Hsien Loong dalam wawancara bersama media tempatan menjelang peralihan kepimpinan pada 15 Mei ini berkata, sepanjang 20 tahun beliau menjadi Perdana Menteri, kemajuan telah dicapai dalam beberapa isu bersama rakan sejawatnya di Malaysia, termasuk isu Pedra Branca (Pulau Batu Puteh) dan tanah Keretapi Tanah Melayu.

“Sebagai contoh, bersama (Tun) Abdullah Badawi, beliau merupakan Perdana Menteri ketika keputusan Pedra Branca dikeluarkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

“Kami berbincang mengenainya, saya bercakap dengannya, dan kami memutuskan untuk menerima keputusan ini dan sekarang kami harus melangkah ke peringkat seterusnya,” katanya dalam wawancara yang disiarkan hari ini.

Transkrip wawancara itu turut dikongsi di laman sesawang Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Hsien Loong yang menjadi Perdana Menteri ketiga Singapura pada 2004, pernah bekerjasama dengan ramai Perdana Menteri Malaysia, bermula dengan Abdullah, Datuk Seri Najib Tun Razak, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Kerajaan Singapura itu berkata, bersama rakan sejawatnya ketika ini, Anwar, kedua-dua pihak berbincang mengenai kerjasama penting termasuk Sistem Transit Rapid (RTS Link) yang akan menghubungkan Johor, Malaysia, dengan Singapura.

Menurut Hsien Loong, beliau dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membincangkan beberapa kerjasama penting termasuk Sistem Transit Rapid yang akan menghubungkan Johor dengan negara itu. – Facebook Lee Hsien Loong, 10 Mei, 2024

“Kami membincangkan isu lain yang boleh membawa kepada kerjasama tetapi juga sensitif. Ruang udara, sempadan maritim…, air, ini adalah perkara yang perlu dibincangkan. Kami belum menyelesaikannya. Jadi, masih ada kerja yang perlu dilakukan oleh pengganti saya,” katanya.

Beliau berkata, hubungan dengan negara jiran seperti Malaysia akan sentiasa menjadi “rumit” kerana ia berpotensi menimbulkan pandangan yang berbeza.

“Saya fikir kedua-dua pihak tahu perkara ini, dan kedua-duanya cuba sedaya upaya untuk tidak berbalah, kerana banyak perkara boleh dilakukan bersama,” katanya.

Hsien Loong akan melepaskan jawatannya pada 15 Mei bagi memberi laluan kepada penggantinya, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Lawrence Wong yang akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri keempat Singapura pada tarikh yang sama. – 10 Mei, 2024

Topics

Hangat

China’s rising 17-year-old badminton star, Zhang Zhijie, dead after collapsing on court

He was participating in the ongoing Asian Junior Badminton Championships in Indonesia

Local label Rizman Ruzaini to design Malaysia’s kit for Olympics opening ceremony?

Fashion house has dressed many high-profile figures, including squash icon Datuk Nicol David and top model Naomi Campbell

Poor driver vetting will steer public away from inDrive, says assault victim’s lawyer

Victim has criticised the company’s lack of transparency and slow response, is prepared to take legal action

Related