KUALA LUMPUR – Kontrak Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disambung setahun lagi, berkuat kuasa Ahad ini.
Perkara itu disahkan menerusi kenyataan yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, hari ini.
“Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan semula Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk tempoh satu tahun berkuat kuasa mulai 12 Mei 2024,” katanya.
Selasa lalu, Azam tidak mahu mengulas apabila ditanya sama ada kontrak beliau yang berakhir Ahad ini akan disambung.
“Saya tidak mahu buat sebarang spekulasi, …saya ada masa hingga 12 Mei ini.
“Itu tarikh birthday (hari lahir) saya… sesiapa nak bagi birthday gift (hadiah) boleh beri,” katanya ditemui pada Majlis Pelancaran Strategi Pembanterasan Rasuah (NACS) 2024-2028, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Sebelum ini, tempoh perkhidmatan Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dilanjutkan selama setahun tahun lepas yang akan tamat pada 12 Mei ini.
Azam dilantik mengetuai SPRM pada 9 Mac 2020 susulan peletakan jawatan Latheefa Koya. – 10 Mei, 2024