KUALA LUMPUR – Pemimpin politik diminta berkempen secara ‘gentleman’ dan menolak sentimen perkauman melampau, termasuk membabitkan isu sekolah vernakular pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.
Bercakap kepada Scoop, penganalisis politik dan Pengerusi Warisan Peradaban Universiti Islam Malaysia (UIM), Tan Sri Profesor Abdul Latiff Abu Bakar berkata, pemimpin politik tidak wajar bersikap ‘menukar cakap’ dan memanipulasi pendirian asal mereka mengenai isu sekolah berkenaan.
Katanya, pemimpin politik juga perlu konsisten dengan sesuatu isu diperjuangkan mereka atau parti sendiri, bukannya mengubah cakap demi mengikut situasi atau latar belakang komuniti di kawasan ditandingi demi undi.
“Dalam pilihan raya, kadang-kadang kita susah nak menentukan, dua-dua pihak fikir mahu menang, dengan berdasarkan suasana atau situasi isu semasa, jadi kita (pengundi) tak boleh harap sangat apa janji orang politik, (sebab) dia tengok mood mengikut suasana semasa.
“Sekolah vernakular sebenarnya dalam sistem pendidikan kita dibenarkan tapi ada satu pihak pula kata, tak boleh, kita nak hapuskan, sebab benda ini akan menjadi isu. Kalau kita perhatikan dalam pergolakan sekolah vernakular ini, sudah tentu pihak DAP dan kumpulannya sokong serta mahu mempertahankan kerana ada dalam Perlembagaan, PAS pula mainkan sentimen,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, setiap pemimpin tidak kira parti dinaungi, perlu melihat sejarah dan Perlembagaan sebelum mencetuskan apa sahaja isu, terutama membabitkan kepentingan agama serta kaum.
“Gesaan hal berkaitan dengan 3R (agama, kaum, raja) jangan dipersoalkan ini memang saya setuju. Janganlah terlampau main sentimen keagamaan, sebenarnya keagamaan ini perkara baik, nilai yang baik tapi jangan memporak-perandakan suasana,” katanya.
Diaju adakah sikap memanipulasi sesuatu isu akan menyebabkan seseorang pemimpin dan parti dipandang buruk, Abdul Latiff bersetuju.
“Macam isu sekolah vernakular, sentimen dicetuskan PAS ini akan dinilai pengundi sebagai isu tidak sesuai diperjuangkan di PRK KKB kerana ia membabitkan pengundian di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak boleh mengubah keputusan di peringkat Parlimen. Lagipun untuk merombak Perlembagaan ia bukan mudah.
“Pemimpin ini jika bagus dan rasional, mereka akan mendaulatkan Bahasa Melayu, memperkasakan institusi Raja Melayu, membenarkan kebebasan tidak bercanggah serta menjaga kedaulatan Malaysia, itu saja lah,” katanya.
Tegasnya, pemimpin politik harus memberikan tumpuan dan mempertahankan isu pembangunan, bagaimana membela golongan susah, membasmi kemiskinan serta mewujudkan perpaduan.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Ammar Redza Ahmad Rizal berkata, sikap menukar pendirian asal mengenai sesuatu isu atau perkara adalah normal dalam kalangan mana-mana pemimpin politik.
Ujarnya, sikap itu tidak menghairankan, khususnya ketika tempoh pilihan raya, termasuk di PRK KKB.
Ammar Redza berkata, ia mungkin disebabkan mereka melihat ada keperluan berbuat demikian mengikut situasi semasa bagi meraih undi atau mereka ‘tersedar’ bahawa pendirian asal tidak sepatutnya diteruskan.
Justeru, katanya, pengundi perlu menilai apa diperkatakan mereka itu benar-benar logik untuk masyarakat dan mengikut keperluan semasa atau seolah-olah mencipta isu.
“Saya rasa sikap pemimpin yang cakap benda tukar-tukar ini tak okey, kena pastikan lah, mungkin dia mencetuskan isu atau menukar cakap ini akan sekejap je sebagai menarik undi atau akan tetap berulang lepas ini,” katanya.
Ditanya situasi diharapkannya di Kuala Kubu Baharu dan nasihat kepada pengundi, Ammar Redza berkata, pemimpin harus memfokuskan kepada usaha memastikan kebajikan masyarakat serta keperluan kawasan berkenaan diberi perhatian sebaiknya.
“Pengundi pula kena bijak buat pilihan, tengok calon mana yang mampu tawar kebaikan untuk pembangunan mereka,” katanya.
Terdahulu, Ahli Majlis Pimpinan PKR Kelantan, Dr Rosli Allani Abdul Kadir meminta pengundi bukan Melayu di Kuala Kubu Baharu berwaspada dengan kata-kata manis pemimpin PAS yang mendakwa mahu menjaga kepentingan komuniti itu, tetapi ia dianggap semata-mata untuk meraih undi mereka pada PRK kawasan berkenaan, Sabtu ini.
Peringatan terbabit susulan kenyataan Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari yang menafikan parti pimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang itu menolak sekolah vernakular.
Menurutnya, apa dikatakan Ahmad Fadhli menjelang PRK KKB itu mengejutkan, apabila beliau memaklumkan bagi PAS sekolah vernakular tidak ada isu, sebaliknya ia hanya meminta beberapa pembaharuan dibuat terhadap sistem pendidikan aliran berkenaan.
Hakikatnya, Rosli Allani berkata, sejak beberapa tahun lalu, ramai pemimpin PAS mendesak kerajaan menghapuskan sistem pendidikan vernakular di negara ini, memandangkan ia didakwa tidak menyumbang kepada perpaduan kaum, selain menjulang sistem pendidikan tunggal.
PRK KKB diadakan selepas kematian Adun kawasan berkenaan, Lee Kee Hiong dari DAP bulan lalu akibat kanser yang memegang kerusi berkenaan sejak 2013.
Pilihan raya itu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Pang Sock Tao dari Pakatan Harapan (PH); selain calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut; Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainuddin dan Bebas, Nyau Ke Xin. – 10 Mei, 2024