KUALA LUMPUR — BJAK Sdn. Bhd. (BJAK), penyedia perbandingan insurans dalam talian mengesahkan perkhidmatannya beroperasi seperti biasa dan mengakui isu-isu yang dibangkitkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Baru-baru ini JPJ menegaskan perkhidmatan yang disediakan oleh BJAK berkaitan urus niaga pembaharuan cukai jalan kepada orang ramai adalah tanpa kebenaran jabatan itu.
Malah Kementerian Pengangkutan mahupun jabatan berkenaan tidak pernah memberikan kelulusan kepada BJAK untuk menjalankan perkhidmatan itu.
Walau bagaimanapun menurut BJAK, pembaharuan cukai jalan adalah perkhidmatan pilihan bagi pelanggannya.
Syarikat tersebut menegaskan, perkhidmatan utamanya adalah perbandingan dan pembaharuan insurans kenderaan bermotor, disertakan dengan perkhidmatan VIP yang khas untuk pelanggannya.
“Platform lain biasanya mengenakan bayaran yang berkisar dari RM3 hingga RM11 untuk perkhidmatan pembaharuan, BJAK telah menjadikan perkhidmatan pilihan ini percuma untuk semua pelanggan. Sebelum ini BJAK menanggung sebarang caj kepada pembekal rasmi JPJ,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut BJAK, perkhidmatan pembaharuan cukai jalan BJAK kini ditawarkan kepada pelanggan tanpa sebarang caj, sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk menjadikan pembaharuan lebih mudah dan berkesan dari segi kos bagi pelanggannya.
Katanya, BJAK mengekalkan ulasan tertinggi dalam industri, dengan lebih daripada 250,000 ulasan di Google dan semua komen diberi jawapan dengan liputan 100 peratus.
“BJAK mempunyai matlamat penyelesaian pada hari yang sama untuk semua pertanyaan atau maklum balas oleh pelanggan. BJAK mengakui isu-isu yang dibangkitkan JPJ dan sedang aktif bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk membantu meningkatkan pengalaman bagi semua pemilik kenderaan di negara ini.
“Perlu diperhatikan bahawa kempen cukai jalan percuma BJAK adalah sebahagian daripada inisiatif swasta yang bertujuan untuk meningkatkan nilai pelanggan dan tidak berkaitan dengan sebarang mandat kerajaan. BJAK tetap komited untuk menyediakan penyelesaian inovatif dan perkhidmatan yang luar biasa sambil mengekalkan standard pematuhan yang tertinggi,” katanya.
JPJ dalam kenyataan sebelum ini menambah menerima aduan ketidakpuasan orang ramai yang perlu membayar caj tambahan ketika memperbaharui cukai jalan yang dikenakan oleh BJAK, sedangkan Kementerian Pengangkutan dan jabatan itu tidak pernah meluluskan sebarang caj tambahan.
Justeru JPJ menggalakkan urus niaga memperbaharui cukai jalan dilakukan menerusi kaunter JPJ, kios JPJ, kaunter bergerak JPJ Mobile, Aplikasi MyJPJ, portal awam JPJ dan platform rakan niaga JPJ (Pos Malaysia, MyEG dan PUSPAKOM) sahaja. – 7 Mei, 2024