Pemimpin agama perlu berani, aktif perjuang keadilan, keamanan: PM

Katanya, ini kerana rakyat sudah muak dengan perbalahan dalam kalangan ahli politik yang tiada moral, hati nurani dan keadilan

4:55 PM MYT

 

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pemimpin agama untuk mengambil sikap lebih aktif, berkesan dan berani dalam menegakkan keadilan serta keamanan.

Beliau berkata, ini kerana masyarakat sudah muak dan bosan dengan perbalahan dalam kalangan ahli politik yang tidak mempunyai pegangan moral, hati nurani serta memahami erti keadilan.

“Tanpa moral, hati nurani dan makna keadilan, mereka (ahli politik) boleh bercakap secara terbuka mengenai demokrasi dan hak asasi manusia. Kita tidak tahu apa yang boleh dipercayai lagi. Jadi, biarlah ketua agama mengambil tempat (ahli politik).

“Jadilah (pemimpin) yang lebih berkesan, berani dalam menyuarakan pandangan anda, termasuk terhadap pengikut anda sendiri. Anda mungkin seorang pemimpin Buddha, Hindu, Islam atau Kristian. Keadilan tetap keadilan.

“Jangan sesekali dalam mana-mana agama membenarkan pemimpin yang tidak adil dan melakukan penderaan terhadap sesiapa di dunia ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian di Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama 2024 di sini, hari ini.

Menurut Anwar, menjadi kewajipan pemimpin agama untuk memastikan tadbir urus berpandukan nilai moral dan etika yang kukuh.

“Terdapat ramai dalam kalangan kita hidup dalam kemiskinan tegar, kehilangan teknologi baharu, transformasi digital dan kecerdasan buatan.

“Ia penting dalam kehidupan kita, pendidikan dan kemudahan kesihatan awam yang berkualiti,” katanya.

Dalam konteks Malaysia, Anwar berkata, walaupun majoriti penduduk di negara ini beragama Islam dan berpegang teguh kepada prinsip Islam, kepimpinannya tetap komited memastikan keadilan untuk semua rakyat.

“Umat Islam merangkumi hampir 60% (daripada penduduk Malaysia). Islam ialah agama Persekutuan. Kita perlu memikul tanggungjawab untuk memastikan Islam diamalkan seperti termaktub dalam Perlembagaan.

“Pada masa sama, pemimpin komited untuk memastikan kita menghormati hak setiap rakyat (sama ada) muslim, Buddha, Kristian atau Hindu. Mereka ada hak di negara ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar menegaskan persidangan dihadiri ketua-ketua agama itu, bukan bermaksud Malaysia mempromosikan pandangan liberal mahupun pluralisme.

Sebaliknya, beliau berkata, persidangan itu bertujuan menyemai kefahaman dan saling hormat-menghormati antara agama.

Lebih 2,000 ulama dan cendekiawan dari 57 negara hadir pada Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama 2024. – Gambar Bernama, 7 Mei, 2024

“Tidak… Kami tidak promosikan liberalisme. Kami promosikan Lita’arafu, kami promosikan kefahaman, karamah insaniah, kemanusiaan dan itu tanggungjawab sebagai muslim.

“Muslim juga perlu tunjukkan karakter bertoleransi, saling faham antara satu sama lain dan penyayang, selain bersifat adil,” katanya.

Sementara itu, Anwar mengumumkan persidangan tersebut yang menghimpunkan tokoh agama dan intelektual dari seluruh dunia, akan menjadi acara tetap di Malaysia.

Katanya, amat penting bagi Malaysia mempromosikan pemahaman mengenai Islam, Rahmatan Lil Alamin (rahmah kepada sekalian alam) dan mesej keamanan.

“Dalam persidangan ini, kita dapat perhatikan perkara perlu dilakukan dan ditambah baik dalam kalangan orang Islam, Kristian, Buddha atau Hindu.

“Kita ingin mendengar nasihat, kritikan dan cadangan anda, bagaimana pada masa kita mencuba sehabis baik untuk meningkatkan pemahaman mengenai Islam serta mengamalkan apa dinyatakan dalam Al-Quran dan sunah.

“Kita juga ingin sampaikan mesej kasih sayang, belas kasihan, keadilan untuk semua rakyat, muslim dan bukan muslim,” katanya. – 7 Mei, 2024

Topics

 

Hangat

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related