Pengundi PRK KKB ‘tuntut’ calon tunaikan janji dalam manifesto selepas menang kelak

Pengundi KKB berharap isu-isu yang melanda kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu dapat diselesaikan

6:30 PM MYT

 

KUALA KUBU BAHARU – Calon-calon yang bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kuala Kubu Baharu (KKB) dituntut melaksanakan janji mereka menerusi manifesto yang diumumkan oleh parti masing-masing selepas menang kelak.

Perkara itu ditegaskan oleh pengundi di KKB ketika ditemui Scoop, dengan harapan isu-isu yang melanda kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu dapat diselesaikan.

Salah seorang pengundi yang ditemui adalah warga emas, Md Yusof Kamaruddin, 78, yang mahu aspek keindahan alam sekitar di situ dipelihara dan diberikan perhatian.

Wakil rakyat yang dipilih kelak, katanya perlu memastikan KKB bebas daripada penubuhan kilang-kilang agar tidak berlaku pencemaran alam.

“Dalam hal ini saya bersetuju dengan manifesto calon Pakatan Harapan, Pang Sock Tao. Kita kena jaga alam sekitar kerana di KKB tidak dibenarkan pembinaan kilang.

“Ini satu perkara yang bagus di KKB, tiada kilang… jadi alam sekitar kita sentiasa terjaga,” katanya.

Antara manifesto yang dilancarkan oleh Sock Tao adalah Teras Alam Sekitar dan Rekreasi, bagi memastikan pembangunan mampan dan pemeliharaan alam sekitar selain menceriakan kehidupan rekreasi warga tempatan.


Sementara itu, peniaga makanan, Saliana Mohd Said, 41, pula berharap wakil rakyat baharu itu nanti akan memperjuangkan hak peniaga di pekan KKB agar tidak berpindah ke kawasan baharu di Gamelan Square yang menyukarkan pelanggan untuk ke lokasi tersebut.

Dia yang sudah tiga tahun meniaga ayam gunting di kawasan pekan berhampiran pejabat pos berharap arahan berpindah itu akan dapat dipertimbangkan semula oleh pihak berkaitan.

“Saya amat berharap peniaga di pekan ini tidak dialihkan ke Gamelan Square sebab kami dah lama meniaga di sini.

“Kalau boleh biarlah kami kekal berniaga di depan pejabat pos ini.

“Pelanggan pun susah nak masuk ke sana (lokasi baharu) sebab ada sekolah dan jalan selalu sesak di sana,” katanya.

Sementara itu, peniaga nasi campur, Hanafiah Uda Mat Ali, 37, pula berharap agar wakil rakyat baharu dapat menambah baik infrastruktur pengangkutan serta penyelenggaraan kebersihan di KKB.

“Saya harap calon-calon dapat merealisasikan manifesto sekiranya menang nanti.

“Kalau boleh banyakkan kemudahan bas serta tingkatkan lagi penyelenggaran kebersihan (oleh pihak majlis perbandaran).

“Selain itu, mungkin dapat bantu rakyat dengan isu kenaikan harga barang… kami nak meniaga tapi harga barang (makin) meningkat,” katanya.

PRK KKB akan diadakan Sabtu ini, dengan empat calon bertanding iaitu Pang Sock Tao mewakili Pakatan Harapan (PH); Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut; Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainuddin dan Bebas, Nyau Ke Xin.

PRK itu diadakan selepas kematian Ahli Dewan Undangan Neger (Adun) kawasan berkenaan, Lee Kee Hiong bulan lalu akibat kanser. – 6 Mei, 2024

Topics

 

Hangat

Summoned five times: Nazri Aziz on facing US State Dept on Palestine, global issues

Former envoy shares how he used facts and United Nations’ principles to defend Malaysia’s independence

How will M’sia recoup US$248 mil from Riza Aziz after 1MDB suit withdrawal?: Guan Eng

Putrajaya, which entered a deal with Datuk Seri Najib Razak’s stepson as part of a global settlement on 1MDB asset recovery, must explain the public interest matter

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Related