KUALA LUMPUR – Perkhidmatan yang disediakan oleh Bjak berkaitan urus niaga pembaharuan cukai jalan kepada orang ramai adalah tanpa kebenaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
JPJ dalam satu kenyataan menegaskan Kementerian Pengangkutan (MOT) mahupun jabatan berkenaan tidak pernah memberikan kelulusan kepada BJAK untuk menjalankan perkhidmatan itu.
Malah, katanya, kenyataan dikeluarkan BJAK melalui laman sesawangnya iaitu “Pembaharuan roadtax secara dalam talian di BJAK telah diaudit, disah dan diluluskan oleh JPJ” adalah tidak benar dan mengelirukan orang awam.
“Jabatan ini menerima beberapa aduan daripada orang awam antaranya pembaharuan cukai jalan dilaksanakan melalui laman sesawang BJAK, namun tempoh sah laku cukai jalan tidak dikemas kini.
“Tiada integrasi sistem di antara Sistem JPJ (MySIKAP) dengan sistem yang digunakan oleh pihak BJAK,’’ katanya.
JPJ juga menerima aduan ketidakpuasan orang ramai yang perlu membayar caj tambahan ketika memperbaharui cukai jalan yang dikenakan oleh BJAK, sedangkan MOT dan jabatan itu tidak pernah meluluskan sebarang caj tambahan.
Justeru JPJ menggalakkan urus niaga memperbaharui cukai jalan dilakukan menerusi kaunter JPJ, kios JPJ, kaunter bergerak JPJ Mobile, Aplikasi MyJPJ, portal awam JPJ dan platform rakan niaga JPJ (Pos Malaysia, MyEG dan PUSPAKOM) sahaja.
“Orang ramai dinasihatkan berhati-hati dengan mana-mana platform yang menawarkan perkhidmatan memperbaharui cukai jalan yang tidak sah bagi mengelakkan sebarang penipuan dan kerugian. Mereka dinashatkan supaya merujuk atau menghubungi pihak JPJ terlebih dahulu untuk maklumat lanjut,’’ katanya.
BJAK adalah platform yang menyediakan perkhidmatan perbandingan insurans dan takaful kenderaan menerusi dalam talian.
Orang ramai yang ingin memperbaharui cukai jalan dan insuran boleh mendapatkan senarai harga daripada beberapa penyedia insurans untuk motosikal dan kereta. – 6 Mei, 2024