KUALA KUBU BAHARU – Kemampuan untuk menyalurkan peruntukan dan bantuan kepada penduduk Kuala Kubu Baharu tidak akan menjadi beban kepada calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat kawasan berkenaan.
Khairul, 54, berkata, menjadi pengetahuan semua bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang di Selangor turut diberikan peruntukan oleh kerajaan negeri.
“Pada sidang DUN lepas, semua tahu Selangor beri peruntukan kepada semua Adun pembangkang.
“Jadi saya rasa isu peruntukan itu tidak timbul, yang penting saya dapat bawa suara pengundi ke dewan undangan negeri untuk diambil perhatian oleh kerajaan negeri.
“Itu pentingnya PN perlu menang di KKB untuk menguatkan lagi barisan pembangkang di sidang Dewan Undangan Negeri, supaya semak dan imbang dapat diterjemahkan dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas siri kempennya di sekitar pekan KKB di sini hari ini.
Selain itu, memasuki hari kesembilan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Kubu Baharu, Khairul berkata, Perikatan Nasional (PN) telah mencapai 70% kempen bertemu pengundinya.
Beliau berkata, kempen itu turut meliputi kawasan Felda, pasar pagi dan peniaga-peniaga di DUN berkenaan.
“Saya rasa PN sudah merangkumi lebih 70% di semua PDM kita sudah pergi. Dari sempadan kawasan di Kerling dan juga sampai ke sempadan Batang Kali di Batu 30.
“Ada kawasan-kawasan yang belum kita masuk kerana calonnya hanya seorang daripada PN jadi saya kena ikut mana yang kita telah tetapkan,” katanya.

Menurut pemangku Ketua Bersatu Hulu Selangor itu, sehingga kini kempen berjalan lancar dan penerimaan pengundi sangat positif.
“Respons yang kita dapat mereka beri kita kata-kata semangat dan saya harapkan doa daripada pengundi kawasan. Sekurang-kurangnya dapat doa pun sudah cukup,” katanya lagi.
Ditanya mengenai kenyataan Ketua Pengarah PRK Kuala Kubu Baharu PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menjangkakan gabungan itu akan merampas kerusi ini sekiranya peratusan turun mengundi adalah lebih 80%, Khairul berkata, sebagai calon beliau akan berusaha untuk memperoleh kemenangan pada 11 Mei depan.
“Kita tahu peratusan turun mengundi pada PRU15 mahupun PRN agak membimbangkan hanya sekitar 67%. Jadi kalau PN nak menang sekurang-kurangnya kena dapat 80%.
“Jadi jentera kena kerja kuat untuk memastikan semua pengundi dapat keluar pada hari tersebut,” katanya.
PRK DUN Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara Khairul, Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia). – 5 Mei, 2024