HULU SELANGOR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa mengambil tindakan tegas terhadap pihak menyalahguna gambar Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sebagai pelekat dan poster kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu petang semalam.
Ketua Sayap Bersekutu Bersatu, Chong Fat Full berkata, walaupun dimaklumkan pelakunya sudah ditangkap, perbuatan itu jelas melanggar peraturan pilihan raya.
“Kami berharap SPR mengambil tindakan sewajarnya kerana perkara itu jelas menyangkal peraturan pilihan raya. Dengan membawa gambar Seri Paduka, ia memberi gambaran Yang Di-Pertuan Agong menyokong calon.
“Ia adalah satu kesalahan sangat besar di bawah peraturan pilihan raya,” katanya pada sidang media Bersekutu Bersatu di Bilik Gerakan Utama Perikatan Nasional (PN), hari ini.
Semalam tular gambar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna hijau dipasang poster Sultan Ibrahim dan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar, berarak di sekitar Pekan Kuala Kubu Baharu.
Fat Full berkata, tidak menjadi masalah jika menggunakan gambar Anwar kerana beliau ahli politik.
“Tetapi apabila mereka menyalahgunakan gambar Yang Di-Pertuan Agong ia tidak wajar kerana Tuanku mempunyai aura dan tidak sepatutnya dikaitkan dengan politik.
“Perkara sedemikian tidak seharusnya berlaku untuk mengaitkan Tuanku dengan parti politik dan kalau mahu berkempen, kempen dengan cara baik, jangan memperalatkan Seri Paduka.
“Kita sudah membuat laporan polis semalam dan berharap polis dan SPR bertindak,” katanya. – 5 Mei, 2024