‘Boleh rujuk tapi Umno mahu jawatan PM’ itu syarat hidupkan MN dengan PAS

Tidak dinafikan seandainya Umno dan PAS bekerjasama, gelombang sokongan Melayu pasti bertambah kuat

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Umno tidak menolak untuk ‘rujuk’ dengan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN) asalkan jawatan Perdana Menteri diberikan kepada parti berkenaan.

Perkara ini ditegaskan oleh Ketua Umno Sungai Petani, Datuk Shahanim Yusoff kepada Scoop, yang enggan pisang berbuah dua kali selepas ‘dikhianati’ PAS dalam kerjasama MN sebelum ini.

Beliau juga tidak menafikan seandainya Umno dan PAS bekerjasama, gelombang sokongan Melayu pasti bertambah kuat.

“Kalau ada isu kita ketepikan sebab bila Melayu berpecah dengan pelbagai parti, ini membuatkan Melayu semakin lemah.

“Cuma kalau nak bekerjasama, kena bagi Umno jawatan Perdana Menteri, sebab Umno lebih berpengalaman dalam mentadbir negara.

“..dan ini terbukti ketika Barisan Nasional (BN) mentadbir negara sebelum ini, yang mana keadaan sudah cukup baik untuk rakyat sebelum ini, malah ekonomi juga memberangsangkan ketika itu berbanding selepas pertukaran beberapa kerajaan kemudian,” katanya.

Ketua Umno Sungai Petani, Datuk Shahanim Yusoff mengakui, gelombang sokongan Melayu akan lebih kuat jika dua parti itu bergabung, namun beliau enggan pisang berbuah dua kali selepas ‘dikhianati’ PAS dalam kerjasama sebelum ini. – Gambar Facebook, 5 Mei, 2024

Beliau mengulas mengenai cakap-cakap mengenai kerjasama politik antara PAS dan Umno menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

Malah Mursyidul am PAS, Datuk Hashim Jasin sebelum ini berkata, beliau yakin kerjasama antara parti itu dan Umno masih boleh dihidupkan kembali melalui MN.

MN ialah kerjasama antara parti Umno dan PAS yang dibentuk semasa Himpunan Penyatuan Ummah pada 14 September 2019.

Senada dengan Shahanim ialah Ketua Umno Beruas, Datuk Azhar Ahmad yang menyatakan biarpun PRU-16 masih jauh, namun beliau tidak menolak sebarang kemungkinan boleh berlaku dalam politik termasuk kerjasama antara dua parti itu.

Ketua Umno Beruas, Datuk Azhar Ahmad berkata, dalam politik tiada musuh yang kekal dan tidak ada kawan selama-lamanya. – Gambar Bernama, 5 Mei, 2024

“Tidak ada musuh yang kekal, tidak ada kawan yang selama-lamanya, dalam politik kadang-kadang berbalah, kadang-kadang berbaik demi sebuah kuasa.

“Bila ada kuasa kita kena tolong rakyat, bantu ekonomi rakyat, pekerjaan, perumahan, tapi kalau kita salah guna kuasa tunggulah balasan Allah SWT,” katanya.

Sementara Ketua Umno Bahagian Hulu Selangor, Datuk Mohd Isa Abu Kassim pula berkata, masih ada ‘bunyi-bunyi’ dalam kalangan ahli dan pemimpin parti yang ‘tidak senang’ dengan kedudukan Umno dalam Kerajaan Perpaduan.

Ketua Umno Bahagian Hulu Selangor, Datuk Mohd Isa Abu Kassim menegaskan, beliau berpegang kepada prinsip ‘orang parti’ iaitu wajib untuk mempertahankan apa jua yang diputuskan pucuk pimpinan tertinggi. – Gambar Facebook, 5 Mei, 2024

“Contoh di Selangor sendiri terdapat keputusan peringkat negeri (Kerajaan Perpaduan di Selangor) yang tidak disenangi ahli Umno, bermula dengan pelantikan ahli majlis Ketua Kampung dan penyelaras di Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Biarpun jalinan perpaduan antara parti dalam kerajaan belum nampak dengan jelas, kami tetap berpegang sebagai orang parti, wajib untuk pertahankan apa jua yang diputuskan pimpinan tertinggi parti,” katanya.

Sementara itu Bekas Timbalan Ketua Umno Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, setakat ini tidak kedengaran usaha mana-mana pihak untuk menghidupkan semula MN. – 5 Mei, 2024

Topics

Hangat

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Chef Wan slammed for ‘racist’ comment on Aishwarya Rai’s dress at Cannes

Celebrity chef has likened Indian film star’s gown at festival to a ‘kavadi’

Related