Pesawat ringan terhempas, dua terselamat

Pemilik pengangkutan udara itu adalah syarikat dikenali Layang-Layang, manakala dua mangsa tersebut merupakan pengajar penerbangan serta pelatih

12:59 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Sebuah pesawat ringan terhempas di kawasan ladang Besout 2 Tambahan, Sungka, Perak hari ini.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

“Ya, pesawat latihan, penumpang terlibat selamat.

“Kejadian berlaku pada jam 9.55 pagi,” katanya.

Difahamkan, pesawat itu membawa dua individu, masing-masing lelaki dan wanita.

Kedua-duanya sudah dihantar ke Hospital Slim River.

Jenis pesawat difahamkan belum dapat dipastikan.

Terdahulu video kejadian tersebut tular di aplikasi WhatsApp.

“Kapal terbang terhempas, tapi tak nampak, nampak asap hitam je sikit,” menurut suara seorang individu di sebalik sebuah video mengenai kejadian terbabit.

Manakala, hantaran video dan foto di media sosial dikongsikan pengguna platform itu, memaparkan beberapa ambulans bergerak masuk ke kawasan nahas untuk kerja penyelamatan.

Video lain menunjukkan anggota bomba menjalankan kerja menyelamat dengan seorang daripada mangsa sudah dibawa keluar dan diletakkan di atas pengusung.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerusi kenyataan kepada media memaklumkan, pemilik pengangkutan udara itu adalah syarikat dikenali Layang-Layang.

Katanya, dua mangsa itu adalah pengajar penerbangan dan pelatih.

Sementara itu, pesawat berkenaan dikesan melaporkan kedudukan terakhir di Slim River dan gagal menyatakan lokasi selanjutnya di Bidor.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, kegagalan itu menyebabkan tindakan susulan diambil Pegawai Kawalan Trafik Udara bertugas.

“CAAM mengesahkan sebuah pesawat Cessna 172N Skyhawk dengan pendaftaran 9M-ADA dikendalikan Akademi Penerbangan Layang-Layang terhempas dekat Felda Gunung Besout, Sungkai, Perak pada 4 Mei 2024.

“Pesawat dinaiki dua individu berlepas pada jam 7.54 pagi dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh dan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) menerima panggilan terakhir di Slim River pada 9.35 pagi,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautika Kuala Lumpur (KLARCC) CAAM di KLATCC diaktifkan pada jam 10.15 pagi, selepas menerima maklumat berkenaan nahas terbabit.

“Pengaktifan pusat ini bagi koordinasi operasi mencari dan menyelamat, dengan kedua-dua individu berkenaan diselamatkan.

“Siasatan lanjut akan dilaksanakan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan- Peraturan Penerbangan Awam 2016,” katanya. – 4 Mei, 2024

Topics

 

Hangat

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Elderly, disabled face ‘roadblocks’ as public transport goes fully digital

Consumer group urges government and public transport companies to be more inclusive with digitalisation approach

The ‘powerful’ fallacy of MCMC – Wong Chun Wai

New regulations are needed to police rampant crimes committed on social media platforms used by millions of Malaysians

Related