HULU SELANGOR – Calon Perikatan Nasional (PN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, Khairul Azhari Saut menyifatkan dakwaan beliau berhutang dengan Ah Long sebagai fitnah jahat.
Beliau yang juga pemangku Ketua Bersatu Hulu Selangor mengakui mempunyai hutang kerana menjalankan perniagaan tetapi bukan berhutang dengan Ah Long.
“Pada saya ini adalah satu fitnah jahat seperti mana yang berlaku pada penamaan calon minggu lalu. Saya diserang apabila wartawan bertanyakan kepada saya mengenai sijil kelayakan akademik saya. Bukan saya tidak mahu komen tapi bukan masanya ketika itu dan saya tidak menipu.
“Termasuk yang baharu ini, saya ada peniagaan sendiri dan saya rasa orang berniaga semua ada hutang. Saya ada hutang rumah, kereta dan tidak mengatakan saya tidak ada hutang. Yang penting bukan hutang dengan Ah Long.
“(Kalau) hutang dengan Ah Long, kad bank (pun) dipegang, kita tidak ke mana, rumah kena simbah cat tapi itu bukan saya,” katanya kepada media selepas Pelancaran Wanita Gempur di Batang Kali di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Ketua Wanita PN, Datuk Seri Rina Harun.
Tambah Khairul, tindakan serangan peribadi seumpama itu oleh pihak tidak bertanggungjawab, tidak baik untuk sistem pilihan raya di negara ini.
“Pada saya serangan peribadi, caci maki calon tidak kisah daripada (pihak) mana tidak baik untuk sistem pilihan raya,” katanya.
Baru-baru ini, tular di media sosial mempersoalkan bagaimana Khairul Azhari memiliki hutang bernilai RM37,363 dengan syarikat kredit komuniti.
Muat naik sama turut mempertikai kredibiliti Khairul Azhari untuk dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Kuala Kubu Baharu, sedangkan gagal membayar hutang.
Sebelum ini, calon PN itu ketika ditemui di satu ceramah enggan mengulas isu hutang dikaitkan.
Terdahlu, Khairul Azhari pernah terpalit kontroversi yang mempersoalkan latar belakang pendidikan apabila beliau memaklumkan, merangkul Sarjana Eksekutif Pengurusan Perniagaan biarpun tidak melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda. – 4 Mei, 2024