KUALA KUBU BAHARU – Pegawai dan anggota Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA) yang mula berfungsi semalam menjadikan kertas Jemaah Menteri yang dibentangkan kepada kabinet, bulan lalu sebagai garis panduan tugasan (punca kuasa) mereka.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, operasi dan penguatkuasaan yang dijalankan oleh agensi baharu itu juga akan dikuatkan lagi menerusi pembentangan rang undang-undang (RUU) penubuhan agensi tersebut pada Julai ini.
“Idea penubuhan MCBA bukan baharu, sebaliknya sejak 2019 lagi iaitu ketika saya menjadi anggota pentadbiran sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Ketika itu diwujudkan satu pasukan nukleus untuk membuat segala persiapan.
“Apabila kerajaan terbentuk pada November 2022, saya melihat maklumat (dan persiapan) itu sudah mencukupi dan Perdana Menteri mengumumkannya dalam ucapan belanjawan, disusuli pembentangan dalam kertas Jemaah Menteri oleh saya.
“Jadi di mana punca kuasanya (garis panduan penugasan)? (Ia) … adalah pada kertas Jemaah Menteri yang sudah diterima oleh Kabinet. Punca kuasa itu pada kuasa Kabinet, yang lebih tepat pada tarikh pembentangan April lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Hari Raya Aidilfitri bersama Menteri Dalam Negeri di Maktab Polis di sini, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya MCBA melaksanakan tugasan berkuat kuasa serta-merta.
Beliau berkata, walaupun RUU berkaitan penubuhan agensi itu hanya akan dibentangkan di Parlimen pada Julai ini, semua jabatan berkaitan seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia sudah boleh meletakkan pegawainya dan bertugas dengan segera.
“Undang-undang (penubuhan MCBA) hanya akan dibentangkan pada Julai, tetapi pada 1 Mei (semalam) adalah bermula punca kuasa pada perkara berkenaan, bermakna dari polis, Kastam, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau Imigresen sebagai punca kuasa,” katanya.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, ketika ini kementerian menunggu semakan RUU oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum pembentangan pada sesi Parlimen, Julai ini.
Katanya, MCBA akan berfungsi menerusi empat skop utama iaitu kawalan sempadan bagi memudahkan pergerakan keluar masuk masuk sempadan, sama ada membabitkan penduduk negara dan pelancong asing.
“Selain itu, kita mahu proses penyampaian di sempadan berjalan lancar dan tiada keperluan untuk berurusan dengan puluhan agensi yang bertanggungjawab di sempadan.
“Seterusnya, MCBA diwujudkan untuk mengatasi isu integriti dan keempat adalah bertujuan untuk meningkatkan hasil negara,” katanya.
Beliau berkata, apabila RUU berkenaan diluluskan, MCBA juga akan menjadi sebuah agensi penguatkuasaan baharu yang besar dan berperanan penting dalam negara.
“Kita mahu yang menguruskan sempadan adalah satu sahaja, berbanding sebelum ini 24 hingga 25 jabatan. Dari segi tatakelola, ia akan menjadi lebih mudah,” katanya. – 3 Mei, 2024