Peningkatan kes rasuah bukti konsep Budaya Kerja Cemerlang tidak dihayati, ‘gagal’ diterapkan

JAIPk turut mengingatkan majikan wajib mewujudkan suasana bekerja yang harmoni agar dapat membentuk hubungan kerjasama baik sesama pekerja

3:46 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Konsep Budaya Kerja Cemerlang yang diperkenalkan kerajaan sejak 35 tahun lalu (1987) nampaknya masih belum berjaya diterapkan dan dihayati setiap warga kerja di negara ini.

Menurut khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bertajuk ‘Bekerja Dengan Tekad Amanah – Budaya Cemerlang’, ia dapat dilihat apabila perlakuan pecah amanah dan salah guna kuasa masih berlaku dengan kes rasuah terus menunjukkan peningkatan tahun ini.

“Bagi tempoh Januari sehingga Mac, akhbar melaporkan seramai 406 dipanggil atau ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana terlibat melakukan rasuah.

“Angka itu melibatkan penjawat awam, pekerja swasta dan orang awam. Jumlah tersebut meningkat, berbanding 397 orang yang dicatatkan dalam tempoh sama pada 2023,” katanya.

Menurut JAIPk, dalam tempoh Januari hingga Mac ini, seramai 406 dipanggil atau ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana terlibat melakukan rasuah. – Gambar JAIPk, 3 Mei, 2024

Untuk rekod, ‘Budaya Kerja Cemerlang’ yang diperkenalkan untuk diterapkan dalam pentadbiran kerajaan pada 1989, bertujuan mengekang salah guna kuasa, rasuah dan pelbagai bentuk kecuaian.

Selain memberi penekanan menghasilkan pekerja yang mempunyai tahap kebertanggungjawaban tinggi, bercirikan pandangan Islam dan nilai-nilai murni, konsep itu juga berhasrat melahirkan pekerja yang cekap dan mahir.

Susulan itu, khutbah tersebut mengingatkan semua pihak wajib bermuhasabah dan mengambil iktibar daripada peningkatan kes tersebut.

Katanya, perbuatan pecah amanah, rasuah dan mentadbir urus secara sambil lewa menjadi antara punca negara mengalami kegagalan dalam pelbagai bidang merangkumi kepimpinan, ekonomi, kemasyarakatan, pendidikan, sains dan teknologi.

“Oleh itu, kesungguhan mengamalkan sikap amanah, berintegriti, telus, jujur dan ikhlas wajib diutamakan dan dibudayakan oleh setiap pekerja.

“Sebagai seorang pekerja, ummah diuji dengan pelbagai cabaran berbentuk sogokan, harta, kekayaan, pangkat dan jawatan yang boleh mengaburi mata, sehingga ada yang sanggup mengorbankan prinsip dan kebenaran, lalu mengkhianati amanah diberikan.

“Sifat-sifat mazmumah yang bersarang di hati akan mendorong pekerja untuk melakukan perkara merosakkan seperti memberi dan menerima rasuah, mengambil harta secara bukan hak, menipu, memeras ugut, juga bersekongkol, malah ke tahap melindungi dan membela individu melakukan pecah amanah dan rasuah,” katanya.

Khubat Jumaat hari ini mengingatkan umat Islam dan seluruh warga kerja agar amanah dalam melakukan pekerjaan, selain tidak melanggar syarak. – Gambar JAIPk, 3 Mei, 2024

Khutbah itu turut mengingatkan pekerja juga perlu beriltizam untuk meningkatkan kemahiran dan kepakaran dalam bidang kerja masing-masing.

“Antaranya dengan menambah ilmu pengetahuan, memperkayakan pengalaman dan meningkatkan kemahiran terutama penguasaan teknologi moden selagi tidak bertentangan dengan syariat.

“‘Islah dan pembaharuan’ perlu dipastikan sentiasa membawa penambahbaikan sama ada daripada segi sistem, proses kerja serta penghasilannya, agar benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan negara,” katanya.

Pada masa yang sama, katanya, majikan wajib mewujudkan suasana bekerja yang harmoni agar dapat membentuk hubungan kerjasama baik sesama pekerja.

Katanya lagi, ia penting bagi memastikan pekerjaan berlangsung dalam suasana harmoni, selesa, serta bebas tekanan, lalu membolehkan pekerja mengembangkan idea dan kebolehan, demi mencapai matlamat organisasi.

“Majikan juga bertanggungjawab memastikan pekerja mendapat imbuhan yang setimpal dengan keperluan hidup.

“Majikan wajib memberikan perhatian terhadap kebajikan pekerja daripada segi perumahan, pengangkutan, kemudahan kesihatan dan keperluan latihan.

“(Adalah) Menjadi tanggungjawab majikan memastikan pekerja mereka tidak berada dalam kepompong kemiskinan,” katanya. – 5 Mei, 2024

Topics

 

Hangat

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Regulating social media to protect children is a multi-agency effort, groups tell MCMC

Children’s issues cover many facets thus their digital rights and freedom of expression must not be restricted in the process of licensing platforms  

Book vouchers for students: MoE, MoHE unaligned on distribution method?

Fadhlina Sidek, in a ministry statement, says those eligible can claim through its Delima app via Kota Buku Digital feature, but Datuk Seri Zambry Abdul Kadir says mechanism will be disclosed later

Related