HULU SELANGOR – Polis menerima tiga laporan sejak perjalanan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu bermula 27 April lalu sehingga hari ini.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim berkata, satu kertas siasatan dibuka dan disiasat mengikut Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Katanya, sejak tempoh kempen PRK bermula, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor sudah meluluskan 28 permit ceramah dan 25 permit kempen.
“Bagi memastikan setiap kempen atau ceramah yang dijalankan mematuhi undang-undang ditetapkan, polis membuat pemantauan di setiap kawasan terbabit.
“Setakat ini kempen yang dilaksanakan parti bertanding dalam keadaan harmoni, teratur dan terkawal,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.
Ahmad Faizal berkata, polis meminta supaya situasi sihat ini dikekalkan sehingga tempoh akhir berkempen.
“Polis menasihatkan semua calon serta kumpulan penyokong supaya mematuhi dan menghormati undang-undang yang ditetapkan sepanjang PRK ini berlangsung.
“Elakkan daripada membuat sebarang provokasi dan perkara yang boleh menimbulkan insiden tidak diingini, sekali gus menggugat keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.
Beliau berkata, mana-mana pihak yang mempunyai sebarang masalah diminta merujuk kepada polis untuk tindakan lanjut berlandaskan undang-undang sedia ada.
PRK DUN KKB menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas.
PH mempertaruh bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pang Sock Tao mewakili Kerajaan Perpaduan, dicabar pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut mewakili PN.
PRM diwakili Hafizah Zainuddin dan Nyau Ke Xin bertanding atas tiket Bebas. – 2 Mei, 2024