KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun terhadap pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali kerana menganiaya remaja perempuan sindrom down dikenali sebagai Bella.
Hakim Datuk Noorin Badaruddin membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Siti Bainun, 32, selaku perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen di sini.
“Mahkamah mendapati tiada sebab untuk mahkamah ini mengusik dapatan Hakim Mahkamah Sesyen.
“Oleh itu, sabitan dan hukuman perayu (Siti Bainun) adalah selamat dan dikekalkan. Rayuan perayu ditolak,” katanya.
Pada 3 Mei 2023, Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi Izraliza menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Siti Bainun selepas mendapati dia bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, 13 dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara itu serta-merta selepas menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman.
Wanita itu dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara tersebut.
Mahkamah Tinggi pada 23 Mei 2023 menolak permohonan Siti Bainun supaya pelaksanaan hukuman penjara terhadapnya ditangguhkan selepas mendapati tiada keadaan khas atau luar biasa untuk berbuat demikian.
Mengikut pertuduhan, Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.
Kedua-dua pertuduhan itu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.
Mahkamah turut memerintahkan Siti Bainun menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000.
Dia juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara. – 2 Mei, 2024