Tindakan dikenakan berhubung kesalahan 3R tidak melanggar hak asasi manusia: Anwar

Perdana Menteri tidak mempunyai masalah apabila individu mengkritik pentadbirannya, tetapi tindakan mesti diambil apabila mereka cuba mencemarkan institusi diraja

11:47 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan undang-undang dikenakan terhadap mereka yang menghina institusi diraja, tidak sekali-kali bermaksud ia melanggar hak asasi manusia.

Perdana Menteri berkata, walaupun beliau tidak mempunyai masalah apabila individu mengkritik pentadbirannya, tetapi tindakan mesti diambil apabila mereka melangkau batas dengan cuba mencemarkan institusi diraja.

“Saya tidak akan berkompromi (terhadap mereka yang menyerang institusi diraja). Polis akan bertindak dengan tegas (dan) peguam negara akan menyiasat kes serta membawa individu terbabit ke mahkamah.

“Tidak akan ada penyelesaian jika anda menghina (institusi diraja). Saya boleh sabar hingga sekarang, tetapi jika melibatkan Raja Melayu, ada batasnya,” katanya pada sesi soal jawab Perdana Menteri di televisyen malam ini.

Merujuk kepada laporan berita baru-baru ini mendakwa Putrajaya menerima cadangan untuk membina kasino di Forest City, Johor, Anwar berkata, mereka yang terbabit dengan dakwaan itu akan berdepan tindakan undang-undang, memandangkan ia mengaitkan Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Johor, Sultan Ibrahim.

“Apabila anda menyentuh perkara tertentu, seperti kaitan pemerintah dengan kasino, anda tertakluk kepada undang-undang.

“Ada kumpulan liberal mendakwa ini bertentangan dengan hak asasi manusia. Apa hak asasi manusia yang membenarkan anda menghina seseorang? Saya fikir pandangan mengelirukan.

“Di Amerika (Syarikat) bapa dan kepala hak asasi manusia, tengok budak-budak demonstrasi disumbat ke penjara semuanya, saya tak mahu ikut begitu tapi saya nak katakan singgung soal Raja, ada 3R, ada hadnya,” katanya.

Anwar juga menekankan bagaimana Raja-raja Melayu, melalui konsensus, meminta kerajaan bertindak lebih tegas dalam mengendalikan situasi menyaksikan institusi diraja menjadi sasaran fitnah.

“Raja diserang, tetapi tidak dapat memberi respons…jika anda mahu mengatakan (bahawa sepatutnya) perlu ada kebebasan untuk menghina Raja, apa akan berlaku kepada negara ini?

“Banyak berbicara mengenai soal mempertahankan Melayu dan walaupun parti itu Melayu, mereka menghina Raja Melayu,” katanya tanpa menyebut mana-mana parti politik.

Anwar berkata demikian pada program itu yang dihoskan Sayed Munawar Sayed Mustar dari RTM, Pasha Abdul Rahim (Bernama TV), Muhammad Zulfitri Yusof (Awani), dan Azaria Tagaya (TV3).

Terdahulu, Anwar berkata, mereka yang menyebarkan perkara mengaitkan institusi Diraja dengan isu kasino di Forest City itu, sepatutnya dipenjarakan, kerana tidak mempunyai kerja selain menyebarkan fitnah.

“Yang di-Pertuan Agong (Sultan Ibrahim) tidak pernah menyatakan sebarang niat atau memberitahu saya mengenai kasino atau aktiviti perjudian di sana. Jadi dari mana datangnya (tuduhan) ini? Semuanya dari ‘penjahat’ di luar sana. Mereka boleh ambil alih bilik saya di Sungai Buloh (penjara),” katanya.

Minggu lalu, laporan agensi berita Bloomberg mendakwa Anwar bertemu pengasas Berjaya Corp, Tan Sri Vincent Tan dan Tan Sri Lim Kok Thay dari Kumpulan Genting untuk perbincangan awal mengenai penubuhan kasino di Forest City, bagi menghidupkan semula projek bernilai RM480 bilion itu.

Memetik sumber rapat tidak dinamakan, Bloomberg juga mengatakan wakil Sultan Ibrahim turut hadir kerana baginda pemegang saham dalam usaha sama dengan firma China Country Garden, sebagai pemaju utama Forest City.

Anwar, Berjaya dan Genting menafikan perkara terbabit, malah Berjaya membuat laporan polis meminta siasatan dijalankan bagi mengenalpasti sumber artikel berita itu.

Semalam, ahli jawatankuasa penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin, atau Chegubard, mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas tuduhan mengeluarkan kenyataan hasutan mengenai projek kasino itu.

Individu berusia 45 tahun itu minta dibicarakan atas dua pertuduhan, iaitu membuat kenyataan hasutan dan memfitnah Yang di-Pertuan Agong. – 1 Mei 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Related